Pages

Showing posts with label Sikap dan teladan. Show all posts
Showing posts with label Sikap dan teladan. Show all posts

Friday, December 16, 2016

Percutian ke Luar Negara Satu Yang Mustahil?

Rasanya dah berkurun lamanya tak aktifkan blog ni. Terlalu banyak sawang dan perlu dibersihkan.
Mulai pada saat dan tika ini, ku berazam untuk mengaktifkan diri dan menceriakan kembali blog ini, supaya dapat memberi manafaat pada ramai sahabat, rakan dan taulan. In Sya Allah dengan izinNya jua...

Musim-musim cuti sekolah ni, ramai teman-teman yang bercuti ke luar negara bawa keluarga... upload gambar-gambar yang cantik-cantik dan menarik, share di fb dan instragram...

Apa perasaan kita yang tak berpeluang... cemburu, sedih, dengki, meluat tengok?
Tak perlu mempunyai perasaan yang begitu, sepatutnya kita berterima kasih dapat bersama-sama melihat gambar tempat-tempat yang kita tak pernah pergi dan mana tahu dengan perkongsian tersebut dapat membakar semangat untuk berusaha lebih tekun dan mohon pada Allah supaya kita juga memperolehi rezeki untuk ke sana.
Sekarang masih belum ada rezeki, siapa tahu akan datang...doa pada Allah, itu yang terbaik..

'Ya Allah, Ya Razzak yang Maha Pemberi Rezeki, jika keinginanku ini untuk melancong dan melihat keindahan ciptaanMu adalah yang terbaik buatku, aturkanlah agar aku dan keluargaku dapat bercuti ke sana. Hanya Kaulah yang Maha mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan hanya Kaulah yang mengetahui apa yang terbaik untukku.'

Lega rasanya hati ini... tersenyum puas kerana kepada Allah sahaja tempat kita meminta.
Jangan fikir itu adalah mustahil bagi kita untuk bercuti ke luar negara kerana dengan kehendak dan izin dari Nya pasti kita akan sampai jua...

#yakinpadaketentuanNya
#tawakalpadaNya
#rajintekunberusaha
#koreakudatangjua

Tuesday, October 12, 2010

Perasan dan Perasaan






Aku perasan yang aku alim
Perasaan aku berdetik....memang tak terbanding dengan yang lain 
Aku perasan yang aku bijak
Perasaan aku berkata....apa yang ku buat yang lain pasti tak dapat mengagak 
Aku perasan yang aku lawa
Perasaan aku berkira...orang lain pasti memandang dengan penuh kecewa
Aku perasan yang aku kaya
Perasaan aku berbunga....pasti yang melihat dengki tak terhingga

Perasan aku semakin menjadi-jadi
Perasaan orang lain apa aku peduli
Perasan aku menjadikan diriku megah
Perasaan orang lain meluat tengok dan menyampah
Perasan aku tak boleh nak dibendung lagi
Punyalah perasan sampai tak sedar diri
Perasaan yang lain bila tengok punyalah geli
Memikirkan bilalah nak bertaubat dan insaf diri

Dunia.....dunia.....penuh dengan perasan sehingga tak pedulikan perasaan
Ingat....ingat.....akhirat


"Kalau tak perasan langsung pun susah juga......kan, nanti dikatakan tiada perasaan"

Wednesday, October 6, 2010

Mutiara atau Debu



"Pilihan yang bijak pasti membuahkan hasil yang lumayan "

Saturday, July 24, 2010

Mengapa Cikgu Itu Boleh

Mendisiplinkan pelajar memang suatu tugas yang berat terutama apabila pelajar sudah berani mempersoalkan perbuatan cikgu.  Sekumpulan pelajar lelaki tingkatan empat dibawa ke bilik saya kerana kesalahan merokok.

Semasa perbicaraan, mereka mengaku bersalah tetapi salah seorang daripada mereka bertanya, "Mengapa cikgu itu boleh merokok?"

"Mereka sudah bekerja, sudah tidak menyusahkan ibu bapa."

"Saya pun kerja cikgu, menjadi penjual ikan di pekan sari.  Saya merokok dengan duit saya."

"Wah, mencabar nampak!.  Jadi kamu hendak sama dengan cikgulah?  Cikgu Abd. Jalil Yusof, tolong kumpulkan sepuluh orang guru kita yang free di bilik gerakan dan berikan buku persediaan mengajar cikgu kepada si Dol, ni."

"Maksud cikgu?" Dol kelihatan cemas.

"Yalah, kamu hendak sangat sama taraf dengan cikgu, kami beri kesempatan kamu mengajar, jadi cikgu."

"Tak bolehlah, cikgu!"

"Mengapa pula tidak boleh?  Saya sekadar memenuhi permintaan kamu."


petikan dari cerita-cerita motivasi untuk guru


"walaupun kita digelar guru yang garang tapi masih lagi menjadi pujaan dikalangan murid-murid.....kan seronok"

Saturday, March 27, 2010

Kisah Seorang Pemuda & Pak Kiyai


Kisah ini telah saya baca dan ambil dari blog cempaka biru untuk dikongsi bersama.

Ada seorang pemuda yang lama belajar dan tinggal di luar negara. Satu ketika beliau kembali ke negaranya. Sekembalinya di rumah ia meminta orang tuanya untuk dicarikan seorang guru agama, kiyai atau sesiapa sahaja yang dapat menjawab tiga persoalan yang lama menghantui fikirannya. Akhirnya orang tuanya berjaya mendapatkan seorang kiyai yang sudah tua tetapi masih sihat dan sangat warak serta berilmu orangnya.
Pemuda: Assalamualaikum, ayahku telah mempertemukan dengan tuan untuk menyelesaikan masalahku. Izinkan saya bertanya, tuan ini siapa?. Apakah tuan mampu menjawab persoalan yang bakal aku kemukan nanti.
Pak Kiyai: Saya ini seorang hamba Allah. Insya Allah dengan izinNya saya akan cuba menjawab segala persoalan saudara.
Pemuda: Tuan yakin, sedangkan telah ramai profesor dan orang pintar di luar negara yang aku temui gagal menjawabnya.
Pak Kiyai: Insyaalah saya akan cuba setakat kemampuan saya.
Pemuda: Aku ada tiga persoalan untuk ditanya kepada tuan:
  1. Kalau memang Allah itu ada, tunjukkan wujud Allah itu kepadaku.
  2. Apakah yang dinamakan takdir
  3. Kalau syaitan diciptakan daripada api kenapakah ia dimasukkan ke dalam neraka yang juga diperbuat daripada api. Tentu tidak akan menyakitkan syaitan sebab mereka daripada unsur yang sama. Apakah Allah SWT pernah terfikir tentang perkara itu.
Selesai tiga persoalan itu ditanya, tiba-tiba sahaja Pak Kiyai menampar pipi pemuda tersebut dengan kuatnya.
Pemuda: (sambil menahan sakit) Kenapa tuan menampar aku.
Pak Kiyai: Tamparan ini adalah jawapan saya kepada persoalan yang saudara ajukan kepada saya.
Pemuda: Aku sungguh-sungguh tidak mengerti.
Pak Kiyai: Sebentar lagi Insya Allah, saudara akan mengerti.
Pak  Kiyai: Bagaimana rasanya tamparan saya.
Pemuda: Tentu saja aku merasa sakit.
Pak Kiyai: Jadi, saudara percaya sakit itu ada?
Pemuda: Ya, aku percaya.
Pak Kiyai: Tunjukkan kepada saya wujud sakit itu!
Pemuda: Terdiam sambil merenung wajah Pak Kiyai.
Pak Kiyai: Itulah jawapan kepada persoalan saudara yang pertama…kita semua merasakan kewujudan Allah SWT tanpa mampu melihatNya.
Pak Kiyai: Apakah malam tadi saudara bermimpi akan ditampar oleh saya?
Pemuda: Tidak.
Pak Kiyai: Apakah saudara pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan yang kuat daripada saya hari ini?
Pemuda: Tidak.
Pak Kiyai: Itulah yang dinamakan takdir.
Pak Kiyai: Terbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar saudara?
Pemuda: Kulit.
Pak Kiyai: Terbuat daripada apakah pipi saudara?
Pemuda: Kulit
Pak Kiyai: Maaf, bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda: Sangat sakit.
Pak Kiyai: Walaupun syaitan dibuat daripada api dan neraka juga daripada api, jika Allah SWT menghendakinya maka neraka akan menjadi tempat yang sangat menyakitkan bagi syaitan.


"Terasa betapa kerdilnya diri ini, tiada apa yang perlu dimegahkan kerana segala-galanya adalah pinjaman belaka....Allah Maha Mengetahui Segala-galanya"

 

Thursday, March 18, 2010

Anugerah

Miss World (gambar hiasan)


Cantik, lawa, menarik, ayu, manis adalah sesuatu yang subjektif.
Pada pandangan kita nampak cantik dan menarik tapi tidak bagi pandangan orang lain.
Kecantikkan yang hakiki adalah lahir dari hati yang suci di mana ianya dapat dizahirkan dengan seri wajah yang menarik.  Mungkin tidak cantik tapi menarik.
Apa yang penting biarlah wujudnya keseimbangan antara zahir dan batin, jasmani dan rohani.
Insan yang cantik adalah anugerah. Biarlah sedap mata memandang dan sedap hati untuk mengenalinya.


"Kalau jadi ketua jangan pandang pada yang cantik sahaja....bahaya dan yang cantik pula jangan nak mengada-ngada tetapi bersyukur dengan anugerahNya- sekadar ungkapan tiada kena mengena dengan sesiapa, jangan ada yang terasa" 

 
 

Thursday, March 4, 2010

Pencarian...

 

Orang yang berbicara....
berbeza dengan orang yang bekerja.
Orang yang bekerja...
berbeza dengan orang yang berjihad.
Orang yang berjihad sahaja...
berbeza dengan orang yang berjihad secara tekun dan tekal.
Itulah tingkah laku yang akan menghasilkan...
keuntungan besar dengan sedikit pengorbanan.


"Ku mencari sesuatu yang bererti.....ku mencari damai abadi....di sana ku temui cinta sejati"


Monday, February 8, 2010

Optimistik dan bukan Pesimistik

 

Sikap yang optimis adalah faktor penting untuk mencapai kejayaan.

Seseorang yang optimistik ialah orang yang sentiasa mahu melihat sesuatu masalah dengan jangkaan atau harapan baik, dengan erti kata lain sentiasa melihat segala hal daripada sudut kebaikannya.

Individu-individu yang mempunyai estim tinggi mempunyai sikap optimis, manakala mereka yang berestim rendah mempunyai sikap pesimistik.

Seseorang yang bersikap pesimistik sentiasa bersikap atau berpandangan mudah putus harap, segera merasa kecewa atau hilang kepercayaan terhadap sesuatu.

Estim mempunyai kaitan yang rapat dengan kejayaan.

Oleh itu tugas guru ialah menjadi pendorong iaitu mengasuh murid-murid supaya mempunyai sikap optimis dalam kehidupan dan seterusnya dapat membina estim yang tinggi

"Bersikap Optimis di dalam mendidik anak lebih-lebih lagi Nuqman"


Saturday, January 9, 2010

Yang Pertama



Kita baru bertatih,
orang lain sudah berjalan.
Bila kita mula berjalan,
orang lain sudah pantas berlari.
Kita mula ikut berlari,
malangnya orang lain sudah sampai ke benua sana.
Kenapa kita selalu menjadi orang kedua,
tidak yang pertama.
Aku ingin mara untuk jadi yang pertama. 



"Nasib dan takdir bukan untuk disalahkan tapi kita perlu berubah demi kebaikan"





Friday, December 11, 2009

[Accountable & Responsible]


Saya baru sahaja habis membaca sebuah novel oleh novelis thriller nomber 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid yang bertajuk 9 nyawa. Ungkapan pada kulit novel tersebut 'mata hati tidak pernah berdusta' membawa seribu pengertian.

Teruja dengan gaya olahan cerita yang menarik dan mendebarkan, saya memang sentiasa ternanti-nanti hasil karyanya yang terbaru. Bukan mahu mengulas berkaitan novel tersebut tetapi apabila selesai sahaja membaca hati tertanya-tanya akan 'accountable & responsible' diri kita.

Marilah kita bertanya pada diri beberapa soalan ini:

"Sudikah aku berkahwin dengan diriku"

"Sudikah aku menyintai diriku"

"Sudikah aku menjadi sahabat karib diriku"

"Sudikah aku menerima diriku sebagai ketua"

"Sudikah aku menerima diriku sebagai pekerja"
dsbgnya...


Apakah jawapan kita:

"Mungkin atau sudah tentu atau tak pasti"

atau tiada jawapan.




Maka bertitik tolak dari situlah timbulnya persoalan 'accountable & responsible'


-tanggungjawab, bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan, pertanggungjawapan-






"Aku perlu sentiasa menyelami mata hatiku"



Wednesday, October 28, 2009

Maaf Ku Pinta

Aku sentiasa memaafkanmu kerana kaulah segala-galanya bagi diriku.

Saat terpandang sahaja wajahmu, aku juga ingin memohon kemaafan andai kata tutur bicaraku telah menyakiti hatimu.




Teringat kata-kata bonda, "kebenaran adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan." Ungkapan itu terngiang-ngiang di telinga. Lantas terlontarlah idea untuk mengutarakan isu memohon maaf.



Kesilapan, keterlanjuran kata...ah, aku bukan sengaja!. Kenapa aku perlu meminta maaf. Aku tak mau merendahkan diri memohon maaf kerana tiada siapa yang boleh memaksa. Kalau aku nak minta maaf sekalipun mestilah dengan kerelaan hati. Kenapa perlu peningkan kepala, macam orang bodoh. Mengaku silap dan memohon maaf, kan menjatuhkan maruah aku.


Janganlah kita angkuh. Selagi kita dinamakan manusia, kita pasti melakukan kesilapan kerana tiada siapa yang sempurna melainkan Allah. Bersihkan hati, sucikan jiwa dan pintalah kemaafan kerana ianya akan menjadikan kita lebih tenang.


Seorang suami pernah bersalah kepada isterinya dan begitu juga sebaliknya. Anak-anak pernah membuat salah terhadap kedua orang tuanya. Ibu bapa juga pernah bersalah pada anak-anak. Seorang teman bersalah pada sahabatnya. Anak murid melakukan kesalahan terhadap gurunya. Seorang guru pernah juga bersalah pada anak muridnya. Kesilapan dan kesalahan berlaku di mana-mana tanpa mengira usia. Ambillah langkah yang tepat, pohonlah kemaafan semoga hidup sentiasa di dalam keredhaanNya.


Bagaimana hendak memohon maaf:



  1. pohonlah dengan kadar yang segera, jangan bertangguh dan mengambil masa yang lama untuk berfikir.


  2. gunalah pelbagai cara seperti teknik bukan lisan contoh sentuhan, pelukan atau dengan nota ringkas seperti kad ucapan.


  3. perlukan komitmen yang bersungguh-sungguh iaitu sanggup korbankan keegoan dan kepentingan diri sendiri.

"Semoga Kita Sentiasa Menjadi Insan Yang Pemaaf "


Saturday, October 17, 2009

Motivasi Buatmu Insan Yang Bergelar Guru




Cerita-cerita motivasi ini saya perolehi hasil dari penulisan seorang pengetua yang pernah mendapat anugerah Pengetua Cemerlang. Ianya menjadi pendorong buat diri saya dan semoga ianya boleh menjadi pendorong dan motivasi buat rakan-rakan yang lain.



Cerita 1


Berdasarkan sifat saya yang tegas saya kerap diberikan mengajar kelas belakang-belakang. Walaupun saya sudah berusaha demi kecemerlangan, keputusan yang dicapai masih di tahap sederhana. Hanya seorang dua yang mampu dapat 'A'.

Saya berjumpa pengetua secara perseorangan untuk menerangkan usaha saya dan kehampaan saya dengan keputusan yang dicapai.


"Saya minta maaf cikgu, saya tidak dapat menghasilkan keputusan yang diharap-harapkan. Saya sudah cuba yang terbaik, tapi..."


"Cikgu Ong, secara jujur saya bertanya. Berdasarkan target individu pelajar adakah ia mencapai sasaran."


"Hampir tepat cikgu. Untuk 'A' target 2, dapat 2; untuk 'B' target 23, dapat 21; untuk 'C' target 48, dapat 50; selebihnya 'D' ".


"Cikgu Ong puas hati dengan keputusan itu?"


"Puas"


"Habis tu apa lagi?"


"Saya bimbang cikgu yang tak puas hati..."


"Cikgu Ong, saya hampir mencecah usia emas, sudah banyak rambut uban, kata orang tanda kebijaksanaan. Saya tidak mudah melenting dan melatah. Bagi saya proses mendidik seperti proses mencuci pakaian. Kalau daripada jenis sutera: celup, bilas dan sidai. Jika jenis rayon, kena basuh dengan tangan perlahan-lahan. Kalau kain kapas pula, kena berus dan kalau belacu kenalah sental kuat. Janji bersih dan yang dibersihkan belacu tetap belacu, tidak mungkin jadi sutera tetapi belacu yang bersih"






Cerita 2


Oleh kerana sudah tiga tahun saya mengajar kelas-kelas peperiksaan, saya terus diamanahkan bagi mengajar kelas peperiksaan pada tahun berikutnya. Sudah berpengalaman alasan yang biasa diberi.




Memang tension mengajar semua kelas peperiksaan. Terasa juga jaki melihat rakan seperjuangan yang tidak mengajar kelas peperiksaan.




Saya beranikan diri berjumpa Guru Penolong Kanan (GPK) supaya memberi saya peluang mengajar tingkatan empat atau enam rendah. GPK saya ketika itu, Cikgu Jaafar memang bagus Public Relationsnya (PR) lalu menjawab, "Sis, mengajar kelas peperiksaan ni seronok. Nantilah saya buktikan."




Selang beberapa minggu, keputusan peperiksaan keluar. Saya menjerit kegembiraan, usaha saya bersama pelajar membuahkan hasil, malah melebihi target. Tiba-tiba saya terdengar suara Cikgu Jaafar, "Kan saya sudah beritahu, mengajar kelas peperiksaan ni seronok!"





Cerita 3


Salah satu pantang besar pengetua saya adalah apabila guru menyerah kalah dan melabel pelajar bodoh. Beliau sentiasa menekankan pelajar mesti dididik dan diasuh sehinggalah ke saat akhir. Dalam unjuran, beliau hendak seratus peratus tidak boleh tidak. Jenuh juga berdebat dengan beliau.




"Jangan sekali-kali cop pelajar hopeless. Mesti berikan mereka harapan dan mesti mempunyai keyakinan pada diri sendiri. Kita boleh menjadi guru terbaik," katanya.




"Saya tidak mahu kita lebih teruk daripada ayam. Ayam tidak pernah menolak telurnya untuk dieram. Malah kalau diletakkan telur itik pun dieramkan juga. Kalau ada telur yang terkeluar, dikuak kembali ke bawah kepaknya. Eram semua."




"Apabila menetas baru tahu tembelang atau tidaknya."








Banyak lagi cerita-cerita motivasi yang ada. Jika berminat untuk meningkatkan lagi kualiti diri anda belilah buku ini.




Friday, August 14, 2009

Ciri-Ciri Insan Mulia


Warna putih sering dikaitkan dengan suci dan bersih. Sehelai kain kanvas yang putih pada mulanya akan diwarnakan oleh si pelukis untuk mencorakkan apa yang diinginkan. Terpulang kepada si pelukis tersebut bagaimana hendak mewarnakannya dengan sebaik mungkin... cikgu sains pun boleh berfalsafah juga.


Penonjolan dua watak yang negatif oleh saya sebelum ini iaitu 'Pak Pandir Moden' dan Si Kitol Moden' bukanlah bererti di dalam dunia ini tiada watak yang positif. Cuma kekadang timbul perasaan geram dan marah apabila kita menghadapi situasi tertentu yang memaksa kita berhadapan dengan orang yang berpewatakkan sedemikian...sabar je! Kan sabar itu separuh daripada iman.


Sebenarnya masih ada lagi insan-insan mulia yang mempunyai ciri-ciri seperti Saidatina Khadijah r.a. isteri Rasulullah S.A.W. Sebagai insan biasa kita tidak mungkin dapat menyamai Saidatina Khadijah r.a. ...namun sebagai hamba Allah swt, kita boleh berusaha memupuk dan menyemai sifat-sifat terpuji itu secara beransur-ansur dengan sabar. Antara sifat-sifat terpuji itu ialah taat perintah Allah, berakhlak mulia, dermawan, sabar, tabah, cekal, penyayang, berwawasan dan berfikiran kreatif. Keikhlasan hati beliau terletak di kedudukan langit tertinggi yang hanya boleh dicapai oleh insan yang melakukan sesuatu hanya kerana Allah swt semata-mata.


Sebenarnya di sebalik perkataan yang tersurat di atas ada perkara lain yang tersirat. Dalam kehidupan seharian kita masih ada lagi insan-insan mulia yang mempunyai hati yang ikhlas dan berakhlak mulia seperti Saidatina Khadijah r.a. Kekadang kita perlu menyemat di dalam hati bahawa keikhlasan untuk menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan adalah antara ciri-ciri mulia yang Allah swt kehendaki. Melakukan sesuatu kerana Allah swt semata-mata akan meletakkan kita pada kedudukan langit tertinggi dan balasannya biarlah Alah swt yang menentukannya.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Adik Seri yang telah sudi membantu saya. Walau pun pertolongan itu nampak kecil tetapi doa yang baik dari seorang hamba kepada hamba yang lain adalah juga suatu keberkatan dan rahmat.

Wednesday, August 12, 2009

Si Kitol Moden



Merujuk kepada gambar ihsan di atas, pasti umum telah maklum tentang perkelahian dan pertarungan antara dua pahlawan Melayu Melaka pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka lebih lima ratus tahun yang lalu. Puncanya bukan kerana prinsip atau siapa yang benar tetapi.....oleh perasaan hasad dengki orang ketiga.


Saya sebenarnya ingin menonjolkan watak seorang antagonis di dalam Sejarah Melayu iaitu Si Kitol. Watak seorang petualang yang mempunyai sikap talam dua muka. Seorang yang di samakan dengan seekor sesumpah yang boleh bertukar warna kulit mengikut keadaan setempat. Seorang yang benar-benar jahat dan busuk hati. Kelebihan yang ada dalam dirinya adalah kebolehan dan kemahiran mengampu orang atasan tetapi dengan cara memijak kepala orang lain.


Si Kitol akan mengadu domba iaitu dengan mengadu kepada orang tertentu apa yang orang lain cakapkan mengenai orang itu. Begitulah keadaannya bila dia berjumpa orang lain dan akan mengadu tentang apa yang dicakapkan oleh si fulan kepada orang itu. Bagi meyakinkan cerita, maka Si Kitol akan memainkan peranan dengan menokok tambah cerita yang tidak benar.


AWAS! Si Kitol berada di mana-mana. Masih ramai di antara kita yang masih mengamalkan sikap dan nilai-nilai diri yang ada pada Si Kitol. Berhati-hatilah dengan Si Kitol Moden....fikirkanlah.


Wednesday, July 22, 2009

Kisah Pak Pandir Moden

Pak Pandir adalah watak dalam mitos orang Melayu. Perwatakan sebagai seorang yang cerdik tetapi ada bodohnya. Berlagak pandai tetapi bersikap lengai atau bersikap acuh tak acuh. Lebih banyak menyusahkan orang lain kerana kebodohannya itu.

Watak seperti ini ada di mana-mana jua. Sama ada di rumah atau di tempat kerja. Tanpa kita sedari sikap ini sebenarnya memang wujud di kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Ciri-ciri Pak Pandir:
  • Gemar bercakap besar tetapi tidak sepadan dengan kemampuan diri yang sebenar
  • Tidak suka merancang dan mengurus kerja dengan baik
  • Bersikap pelupa dan selalu lupa diri
  • Tidak mahu mengaku kelemahan diri
  • Sering membuat kesilapan yang berulang
  • Bersikap suka bertangguh
  • Suka membuat kerja di saat-saat akhir
  • Bersikap "Aku lebih tahu dari orang lain"

Kita perlu berani untuk berubah. Jangan mengharapkan orang lain untuk mengubah diri kita. Antara perubahan yang perlu dilaksanakan ialah:

  • Kita perlu berusaha menambah ilmu dan kemahiran diri
  • Berusahalah menjadi seorang pengurus yang baik
  • Berusahalah menjadi seorang pencatat yang cekap
  • Sentiasa bermuhasabah diri
  • Pastikan diri sentiasa cekap dan berhemah
  • Cekap menguruskan masa dan mengatur jadual kerja
  • Menghormati kelebihan dan kemampuan orang lain
Blog Widget by LinkWithin

E-kad & Award dari teman

Salam Ramadhan
AlongArman