Pages

Wednesday, October 28, 2009

Maaf Ku Pinta

Aku sentiasa memaafkanmu kerana kaulah segala-galanya bagi diriku.

Saat terpandang sahaja wajahmu, aku juga ingin memohon kemaafan andai kata tutur bicaraku telah menyakiti hatimu.




Teringat kata-kata bonda, "kebenaran adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan." Ungkapan itu terngiang-ngiang di telinga. Lantas terlontarlah idea untuk mengutarakan isu memohon maaf.



Kesilapan, keterlanjuran kata...ah, aku bukan sengaja!. Kenapa aku perlu meminta maaf. Aku tak mau merendahkan diri memohon maaf kerana tiada siapa yang boleh memaksa. Kalau aku nak minta maaf sekalipun mestilah dengan kerelaan hati. Kenapa perlu peningkan kepala, macam orang bodoh. Mengaku silap dan memohon maaf, kan menjatuhkan maruah aku.


Janganlah kita angkuh. Selagi kita dinamakan manusia, kita pasti melakukan kesilapan kerana tiada siapa yang sempurna melainkan Allah. Bersihkan hati, sucikan jiwa dan pintalah kemaafan kerana ianya akan menjadikan kita lebih tenang.


Seorang suami pernah bersalah kepada isterinya dan begitu juga sebaliknya. Anak-anak pernah membuat salah terhadap kedua orang tuanya. Ibu bapa juga pernah bersalah pada anak-anak. Seorang teman bersalah pada sahabatnya. Anak murid melakukan kesalahan terhadap gurunya. Seorang guru pernah juga bersalah pada anak muridnya. Kesilapan dan kesalahan berlaku di mana-mana tanpa mengira usia. Ambillah langkah yang tepat, pohonlah kemaafan semoga hidup sentiasa di dalam keredhaanNya.


Bagaimana hendak memohon maaf:



  1. pohonlah dengan kadar yang segera, jangan bertangguh dan mengambil masa yang lama untuk berfikir.


  2. gunalah pelbagai cara seperti teknik bukan lisan contoh sentuhan, pelukan atau dengan nota ringkas seperti kad ucapan.


  3. perlukan komitmen yang bersungguh-sungguh iaitu sanggup korbankan keegoan dan kepentingan diri sendiri.

"Semoga Kita Sentiasa Menjadi Insan Yang Pemaaf "


Saturday, October 24, 2009

Sajak syahidnya seorang anak muda



Hikayat Perang Sabi yang dikarang oleh seorang ulama besar Tengku Syekh Muhammad Pantekulu mempunyai 4 kisah dan salah satu darinya adalah berkisar tentang seorang anak muda yang bermimpi bertemu Puteri Ainulmardliyah. Hasil sastera islam yang begitu menarik di dalam bentuk novel puisi.


Kisah Ainulmardliyah terjadi di zaman Nabi. Seorang anak muda yang pada mulanya penakut, tetapi sewaktu dalam perjalanan menuju medan perang dia bermimpi bertemu Puteri Ainulmardliyah dalam sebuah Taman Firdaus dengan sejumlah dayang-dayang dara jelita. Novel puisi ini adalah sebuah fiksyen roman yang diilhamkan bagi membangkitkan semangat jihad rakyat Aceh melawan Belanda.



Bicara Puteri Ainulmardliyah yang amat jelita untuk anak muda:



Aduhai kakanda kemala hati,
Mujahid sejati kekasih Allah,
Hatiku ghairah mari ke mari,
Adik menanti berhati gelisah.


Ke mari sayang ke atas peraduan,
Bantal tilam emas bersuji,
Silakan mari kakanda tuan,
Cinta bergelut di dalam hati.


Alhamdulillah sampailah hajat,
Wahai daulat kekasih hati,
Mari kakanda padukan hasrat,
Duduk bersanding di atas kerusi.


Aduhai kakanda pahlawanku sayang,
Pahala juang telah tersedia,
Kami ini mempelai perang,
Rinduku abang kembali pulang.


Aduhai kakanda muda bahagia,
Rahmat berganda Tuhan sedia,
Untuk Mujahid perang yang setia,
Keganti payah masa di dunia.


Hamba ini jodoh tuanku,
Hadiah Allah sah pasti,
Entahlah cacat sifat laku,
Baiklah tuanku sidik cari.


Wahai tuanku pahlawan jihad,
Sampaikan hajat kurnia Illahi,
Malam nanti tidur setempat,
Rindu berhajat di dalam hati.


Wahai kakanda muda rupawan,
Janji lama berbukti kini,
ke mari nanti buka puasa,
Bersama kami di atas takhta.



Anak muda hendak memeluk dan mencium Tuan Puteri Anulmardliyah tetapi ditolak dengan tangan yang lembut laksana kapas kehendak anak muda kekasihnya, dengan bicara:



Aduhai tuan mainan hatiku,
Sabar dahulu kemala negeri,
Sebentar lagi datanglah waktu,
Sekembali abang dari perang suci.


Aduhai sayang pahlawan setia,
Malam nanti sampailah janji,
Sekejap tangguh pinta adinda,
jiwa kakanda belumlah suci.


Pinta kakanda makbul sudah,
kembalilah sayang ke medan perang,
Ikhlaskan niat di jalan Allah,
Meninggikan kalimah Tuhan Penyayang.



Anak muda kemudian menjadi seorang yang berani dalam medan perang, mati syahid. Kisah diteruskan:



Menurut kata Pesuruh Allah,
Tubuh yang roboh berlumuran darah,
Tidak akan terkapar rebah,
Kecuali dalam pangkuan Ainulmardliyah.


Sebelum datang dara rupawan,
Tubuh pahlawan roboh tiada,
Dara senyum menghulur tangan,
Barulah jasad terhantar bahagia.


Dara berlumba menadah tangan,
Jemput junjungan kekasih hati,
Dalam pangkuan gadis rupawan,
Nyawa di badan keluar sendiri.


Melayanglah nyawa Alhamdulillah,
Lazat bahagia tidak terkata,
Yang mengetahuinya hanya Allah,
Betapa mujahid mendapat pahala.



Mati syahid dalam Perang Sabil dilukiskan sebagai tidak pernah mati tetapi hidup abadi. Ianya berdasarkan ayat-ayat Al-Quran (Al-Baqarah 154, Al-Imran 157 dan 169 - 170):



Jangan katakan mati,
Mujahid yang tewas di medan perang,
Mereka hidup bahagia,
Bermandikan rahmat tuhan.


Jangan dianggap mati,
Meski nyatanya demikian,
Jangan ragukan kekasih hati,
Ada firman Tuhan.


Jangan sebutkan mati,
Meski nyawa sudah tiada,
Di sisi Illahi dia abadi,
Senantiasa bersuka ria.



Kisah Ainulmardliyah dalam Hikayat Perang Sabi disudahi dengan pantun yang berbunyi:



Sampailah janji puteri rupawan,
Buka puasa bersama kakanda,
Alhamdulillah cinta berlimpahan,
Muda pahlawan sampailah pinta.


Putih-putih bunga cempaka,
Putih berseri bunga melati,
Dalam syurga dara jelita,
menanti suami dari perang suci.


Merah-merah bunga rihan,
turun hujan gugur ke bumi,
Dalam syurga puteri rupawan,
Rindu mendamba suami kembali.



Hikayat Perang Sabil dipetik dari Sastera dan Agama: Prof. Datuk Ismail Hussein, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.






Friday, October 23, 2009

Penilaian Prestasi




Menghampiri ke penghujung tahun, seperti biasa sebagai seorang penjawat awam, kita akan dinilai oleh Ketua Jabatan iaitu pegawai penilai. Membincangkan isu markah prestasi bukanlah bererti cuba untuk memperlekehkan atau mempersendakan sistem yang ada atau pegawai yang bertanggungjawab di dalam sistem penilaian ini. Ianya hanyalah sekadar buah fikiran daripada penulis semata-mata.


Baru-baru ini iaitu pada 7 Oktober 2009 satu berita di dalam Utusan Malaysia, seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kuantan telah memfailkan saman terhadap pengetuanya hanya kerana markah prestasi. Guru tersebut mendakwa bahawa beliau tidak diberi peluang untuk membela diri kerana tidak pernah dipanggil dalam sebarang siasatan atau diberi peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketuanya.




Kenapa perkara sedemikian boleh berlaku. Adakah kerana ketidakpuasan hati atau ketidakadilan si penilai.

Pegawai penilai telah diberi beberapa garis panduan yang tertentu supaya persoalan pilih kasih tidak akan timbul. Rujuk pada laman web http://www.jpa.gov.my/soalan-lazim/sistem-saraan-malaysia/siri-1/ :

Bagaimanakah caranya Penilaian Prestasi dapat dilaksanakan secara lebih objektif, adil dan telus:

1. untuk menentukan penilaian prestasi Anggota Yang Dinilai (PYD) dibuat dengan objektif, adil dan telus, proses penilaian hendaklah dibuat secara berterusan sepanjang tempoh tahun yang dinilai. Anggota penilai boleh melaksanakan melalui kaedah pemantauan kerja, bimbingan dan khidmat nasihat kepada PYD. Melalui cara ini Anggota Penilai dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan PYD bagi tujuan penambahbaikan prestasi anggota berkenaan.

2. Penilaian prestasi hendaklah dinilai berasaskan pencapaian hasil kerja sebenar PYD berbanding dengan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) melalui kriteria penilaian yang ditetapkan dalam borang LNPT.
3. untuk menentukan ketelusan penilaian, Anggota penilai hendaklah memaklumkan kekuatan dan kelemahan PYD semasa membuat penilaian.


Adalah menjadi tanggungjawab Pegawai Penilai memberitahu markah yang diperolehi dan tidak merahsiakannya dari PYD. Masalah akan timbul jika PYD mendapat markah kurang dari 85 tanpa pengetahuan mereka kerana ianya akan menjejaskan masa depan.


NUTP ada menyatakan setiap guru patut dimaklumkan markah prestasi mereka di hampir setiap Road Show /Seminar mereka.

Buletin NUTP Cawangan Kedah September 2009



Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2009 iaitu berkaitan Pemantapan Pengurusan Sistem Penilaian Prestasi Pegawai Perkhidmatan Awam telah menggariskan beberapa kriteria tertentu berkaitan perlunya penglibatan penjawat awam di dalam aktiviti-aktiviti di peringkat kawasan, daerah, negeri, dan kebangsaan. Rujuk http://www.jpa.gov.my/docs/spp/2009/02/spp022009.pdf



Cuma diharapkan peluang untuk melibatkan diri di peringkat yang lebih tinggi akan terbuka luas kepada semua dan bukan hanya kepada calon pilihan yang tertentu sahaja.


Semoga segala usaha yang kita lakukan akan mendapat balasan yang setimpal dan semoga kita tidak mudah kecewa dan putus asa.


"Buka Hati, Buka Minda, Jadilah Insan Yang Cemerlang Dunia dan Akhirat"



Tuesday, October 20, 2009

Cinta Nan Agung




Cinta dapat mengubah
debu beralih emas
keruh menjadi bening
sakit menjadi sembuh
derita menjadi nikmat
dan kemarahan menjadi rahmat
demi cinta kepadaNya Allah yang maha Esa

Sunday, October 18, 2009

Bicara Syahdu





Setelah selesai solat maghrib berjemaah berimamkan suami dan sementara menunggu solat isya', tiba-tiba saya teringat sebuah bingkisan yang indah untuk dikongsi bersama-sama.



Tak perlu mencari teman secantik Balqis,
andai diri tak sehebat Sulaiman.
Mengapa mengharapkan teman setampan Yusof,
jika kasih tak setulus Zulaikha.
Tak perlu mengharapkan teman seteguh Ibrahim,
andai diri tak sekuat Siti Hajar dan
mengapa didambakan teman hidup bak Siti Khadijah,
kalau diri tak sesempurna Rasullullah (S.A.W.)


Bimbinglah dirinya,
dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan,
carilah kebaikan pada dirinya,
dan bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya.


Tetaplah berdoa pada Allah,
agar dia akan terus menjadi milikmu...




Saturday, October 17, 2009

Motivasi Buatmu Insan Yang Bergelar Guru




Cerita-cerita motivasi ini saya perolehi hasil dari penulisan seorang pengetua yang pernah mendapat anugerah Pengetua Cemerlang. Ianya menjadi pendorong buat diri saya dan semoga ianya boleh menjadi pendorong dan motivasi buat rakan-rakan yang lain.



Cerita 1


Berdasarkan sifat saya yang tegas saya kerap diberikan mengajar kelas belakang-belakang. Walaupun saya sudah berusaha demi kecemerlangan, keputusan yang dicapai masih di tahap sederhana. Hanya seorang dua yang mampu dapat 'A'.

Saya berjumpa pengetua secara perseorangan untuk menerangkan usaha saya dan kehampaan saya dengan keputusan yang dicapai.


"Saya minta maaf cikgu, saya tidak dapat menghasilkan keputusan yang diharap-harapkan. Saya sudah cuba yang terbaik, tapi..."


"Cikgu Ong, secara jujur saya bertanya. Berdasarkan target individu pelajar adakah ia mencapai sasaran."


"Hampir tepat cikgu. Untuk 'A' target 2, dapat 2; untuk 'B' target 23, dapat 21; untuk 'C' target 48, dapat 50; selebihnya 'D' ".


"Cikgu Ong puas hati dengan keputusan itu?"


"Puas"


"Habis tu apa lagi?"


"Saya bimbang cikgu yang tak puas hati..."


"Cikgu Ong, saya hampir mencecah usia emas, sudah banyak rambut uban, kata orang tanda kebijaksanaan. Saya tidak mudah melenting dan melatah. Bagi saya proses mendidik seperti proses mencuci pakaian. Kalau daripada jenis sutera: celup, bilas dan sidai. Jika jenis rayon, kena basuh dengan tangan perlahan-lahan. Kalau kain kapas pula, kena berus dan kalau belacu kenalah sental kuat. Janji bersih dan yang dibersihkan belacu tetap belacu, tidak mungkin jadi sutera tetapi belacu yang bersih"






Cerita 2


Oleh kerana sudah tiga tahun saya mengajar kelas-kelas peperiksaan, saya terus diamanahkan bagi mengajar kelas peperiksaan pada tahun berikutnya. Sudah berpengalaman alasan yang biasa diberi.




Memang tension mengajar semua kelas peperiksaan. Terasa juga jaki melihat rakan seperjuangan yang tidak mengajar kelas peperiksaan.




Saya beranikan diri berjumpa Guru Penolong Kanan (GPK) supaya memberi saya peluang mengajar tingkatan empat atau enam rendah. GPK saya ketika itu, Cikgu Jaafar memang bagus Public Relationsnya (PR) lalu menjawab, "Sis, mengajar kelas peperiksaan ni seronok. Nantilah saya buktikan."




Selang beberapa minggu, keputusan peperiksaan keluar. Saya menjerit kegembiraan, usaha saya bersama pelajar membuahkan hasil, malah melebihi target. Tiba-tiba saya terdengar suara Cikgu Jaafar, "Kan saya sudah beritahu, mengajar kelas peperiksaan ni seronok!"





Cerita 3


Salah satu pantang besar pengetua saya adalah apabila guru menyerah kalah dan melabel pelajar bodoh. Beliau sentiasa menekankan pelajar mesti dididik dan diasuh sehinggalah ke saat akhir. Dalam unjuran, beliau hendak seratus peratus tidak boleh tidak. Jenuh juga berdebat dengan beliau.




"Jangan sekali-kali cop pelajar hopeless. Mesti berikan mereka harapan dan mesti mempunyai keyakinan pada diri sendiri. Kita boleh menjadi guru terbaik," katanya.




"Saya tidak mahu kita lebih teruk daripada ayam. Ayam tidak pernah menolak telurnya untuk dieram. Malah kalau diletakkan telur itik pun dieramkan juga. Kalau ada telur yang terkeluar, dikuak kembali ke bawah kepaknya. Eram semua."




"Apabila menetas baru tahu tembelang atau tidaknya."








Banyak lagi cerita-cerita motivasi yang ada. Jika berminat untuk meningkatkan lagi kualiti diri anda belilah buku ini.




Club Blog-Blog Bicara Sempoi





Usai solat asar semalam, blog dibuka untuk meninjau-ninjau perkembangan terkini dan maklumbalas dari rakan-rakan blogger yang lain. Maka terlihatlah pelawaan dari blog bicara sempoi. Berminat ke, kenapa tidak. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Cuma apabila dikehendaki untuk membuat sedikit ulasan berkaitan blog bicara sempoi, terpaksalah ditunda hingga ke saat ini setelah semua tugas dan tanggungjawab disempurnakan terlebih dahulu.



Blog bicara sempoi adalah blog yang unik seperti blog-blog yang seumpama dengannya yang dapat menghimpunkan blog-blog yang ada di Malaysia dan mungkin juga di Asia atau di seluruh dunia. Siapalah yang dapat menjangkakannya. Itukan kuasa Allah.



Setiap blog mempunyai ciri-ciri tersendiri tidak terkecuali blog bicara sempoi. Kita boleh mengenali rakan-rakan blogger yang lain melalui blog ini. Membaca entri terkini dan tulisan-tulisan sempoi mereka yang terdiri dari pelbagai citarasa. Hebatkan. Secara tidak langsung blog bicara sempoi dapat meningkatkan 'traffik' bagi blog kita sendiri. Ingin mengetahui lebih lanjut layarilah http://blog-blog-bicara-sempoi.blogspot.com dan ikut serta tak rugi kalau kita mencuba.




Friday, October 16, 2009

Cikgu Oh Cikgu




Dulu jika kita seorang cikgu, dipandang mulia di sisi masyarakat.
Sekarang cikgu bukan siapa-siapa lagi.
Kenapa?
Dulu jika kita menjadi cikgu dikira hebat.
Sekarang jika kita menjadi cikgu pandang sebelah mata pun orang tak hairan.




Zaman dah berubah.
Sekarang ramai ibu bapa yang hebat, lulusan universiti dalam dan luar negara, gaji ratus ribu, kereta mewah, rumah besar dan siapalah cikgu itu di sisi mereka.




Dulu dikalangan ibubapa hanyalah seorang petani, pekebun, penternak, nelayan yang meletakkan harapan yang tinggi kepada seorang cikgu untuk mendidik anak mereka, sehingga sanggup memberikan rotan dengan kata-kata yang sering diungkapkan, "Cikgu ajarlah anak saya sampai dia jadi orang yang berguna. Kalau nakal cikgu rotanlah. Cuma jangan sampai cacat sudah."




Sekarang ibu bapa tak percaya dengan keupayaan seorang cikgu. Anak mereka jangan disentuh. Kalau nakal biarkan aja, kerana mereka orang yang lebih hebat dan lebih tinggi darjatnya dari seorang cikgu.




Kenapa situasi begini berlaku.
Saya selalu muhasabah diri membezakan antara cikgu yang pernah mengajar saya satu ketika dulu dengan saya sekarang.
Adakah komitmen saya tidak semantap cikgu dulu dan tidak cukup kental jiwanya.
Adakah saya hanya seorang cikgu yang cukup bulan ambil gaji. Cikgu dahulu sanggup berhempas pulas demi anak murid mereka dan sanggup berhujan dan berpanas.
Sampai ke hari ini saya masih teringat jasa cikgu-cikgu saya di SJK Convent dan SMKA Maahad Hamidiah.




Teringat cerita Allahyarham P.Ramle- Masam Masam Manis. Cikgu Sha'ari yang masuk ke kelas dan tulis di papan hitam,
"Che'gu shuka main bola, hari-hari che'gu main bola",
untuk dibaca oleh semua murid dan cikgu tertidur.
Adakah Allahyarham P.Ramle sudah dapat mengagak cikgu-cikgu sekarang akan menjadi seperti itu.
Makan Gaji Buta.
Jika kita seorang cikgu, Tepuk Dada Tanyalah Minda dan Akal




Secara jujurnya bagi saya janganlah dihukum semua cikgu hanya kerana segelintir sahaja yang mempunyai tingkah laku sebegitu.
Ramai lagi cikgu di luar sana yang bersungguh-sungguh di dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira penat lelah dan wang ringgit.
Cikgu yang mempunyai iltizam yang tinggi dan semangat yang membara bukan sahaja mengajar dan menyampaikan ilmu tetapi mendidik sama seperti cikgu-cikgu dulu.







Tugas mendidik di zaman yang serba maju ini tidak semudah yang disangka. Anak-anak telah didedahkan dengan pelbagai teknologi terkini yang ada. Tidak menyalahkan pembangunan tapi ini menjadikan cabaran seorang cikgu semakin bertambah.




Komen pengunjung yang tidak bernama tentang tulisan saya berkaitan: Hukuman atau Denda saya dahului dengan ucapan terima kasih kerana sesungguhnya komen yang disampaikan dalam bentuk cerita itu akan saya jadikan sempadan supaya tidak berkelakuan seperti ustazah tersebut yang memberi hukuman secara membuta tuli.




Saya percaya dengan Hukum Karma iaitu perbuatan yang baik, satu hari nanti Allah akan membalas dengan kebaikan.
Manakala perbuatan yang jahat satu hari nanti akan menerima pembalasannya.
Allah maha adil dan penyanyang.
Siapalah kita hamba yang kerdil untuk membalas perbuatan orang lain.
Suatu hari nanti, ustazah berkenaan pasti akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatannya.




Saya sentiasa ingatkan diri supaya sentiasa menjalankan tugas dengan seikhlas mungkin dan menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin supaya saya dapat menjadi seorang insan yang hebat dan mendapat gaji yang berkat.




Saya sentiasa berdoa semoga perbuatan saya hari ini akan diterima habuannya oleh anak cucu saya di kemudian hari.
Percayalah pada ketentuan Illahi.




"Ya Allah, Kaulah yang Maha Pengasih lagi Penyayang dan Kaulah Maha mengetahui segala-galanya.Amin."


Wednesday, October 14, 2009

Pertandingan Petanque - Aktiviti Pasca UPSR



Gambar ketika sedang beraksi menunjukkan cara bermain petanque dengan berbaju kurung...




Alhamdulillah, akhirnya dapat juga mengaktifkan blog ini yang sudah sekian lama sepi tanpa sebarang berita. Terasa diri ini terlalu rindu... untuk menulis kembali apa sahaja yang terbuku dihati.

Tepat jam 3.45pm pada 10 September 2009, maka berlabuhlah tirai UPSR 2009. Lega rasanya hati kerana segala usaha dan ilmu yang dicurahkan telah digunakan oleh anak-anak murid & anak sendiri sewaktu menghadapi peperiksaan UPSR. Moga keputusan nanti akan memberikan kepuasan yang berganda kelak....amin. (Kepada murid-murid 6UKM 2009, you are the best...)

Mesyuarat guru tahun 6 diadakan bagi membincangkan aktiviti-aktiviti pasca UPSR, setiap guru dipertanggungjawab bagi setiap aktiviti yang telah dicadangkan. Guru Besar berminat dengan permainan petanque (sebutannya pay tong) apa lagi aku terus bersetuju untuk menjadi penyelaras bagi pertandingan petanque berdasarkan pengalamanku yang pernah bermain 10 tahun yang lalu. Oleh kerana terlupa dengan teknik dan peraturannya aku melayari internet. Seperti pepatah ada mengatakan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Aku memperolehi ilmu yang sangat berguna.

Sebelum tarikh pertandingan dijalankan, aku memberi penerangan kepada semua murid tahun 6 tetapi malangnya ramai yang kurang berminat. Tanpa berputus asa, aku berkempen lagi sehinggalah pada tarikh yang ditetapkan, aku membuat keputusan memaksa semua murid yang terdiri dari 4 kelas tahun 6 untuk beratur dan membentuk pasukan masing-masing (3 sepasukan). Murid perempuan di dalam keadaan yang terpaksa menurut perintahku. Manakala murid lelaki pula memberi alasan hendak bermain bola untuk pertandingan akhir.

Setelah pendedahan diberikan mereka mula bermain dan berlatih sebelum pertandingan dijalankan. Setelah mula bermain, barulah mereka tahu betapa seronoknya permainan petanque tersebut. Itulah yang dikatakan tak kenal maka tak cinta. Pertandingan akhir dijalankan pada 8 Oktober 2009. Aku merasakan segala usahaku sepanjang minggu tersebut tidak sia-sia di dalam memperkenalkan satu permainan yang baru bagi anak-anak muridku.

Gambar-gambar yang diambil oleh Tuan Haji Tarmizi sekitar Pertandingan Separuh Akhir pada 7 Oktober 2009.







Blog Widget by LinkWithin

E-kad & Award dari teman

Salam Ramadhan
AlongArman