Pages

Showing posts with label Alam Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Alam Pendidikan. Show all posts

Wednesday, January 18, 2012

PBS Pentaksiran Berasaskan Sekolah

(gambar dipinjam)

Setelah sekian lama tidak menghadirkan diri di alam maya ini, saya terpanggil untuk mengupas tajuk Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang saya percaya ianya amat berguna untuk setiap guru.

PBS yang dilaksanakan adalah sesuatu yang patut dimurnikan oleh semua guru kerana ianya memberi penilaian lebih terhadap murid.  PBS dilihat sebagai satu usaha oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi penambahbaikan terhadap pencapaian murid di dalam peperiksaan utama, khususnya UPSR dan PMR.

PBS dilihat sebagai satu langkah penting bagi menentukan penguasaan murid secara lebih bersistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran.  PBS merujuk kepada pentaksiran yang bersifat holistik yang merangkumi nilai intelek, emosi dan rohani serta jasmani selaras dengan FPK dan KSSR.  Ini kerana PBS mencakupi dan mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Guru diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan ketika proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) yang berasaskan sekolah.  Pentaksiran Sekolah menjadi satu elemen utama dalam proses P&P kerana ia dilihat berfungsi mengukuhkan pembelajaran murid serta meningkatkan pengajaran guru serta berupaya memberi maklumat yang sah mengenai apa sahaja pencapaian dan pelaksanaan dalam setiap proses P&P.

PBS mengandungi empat komponen, dua komponen bersifat akademik iaitu Pentaksiran Sekolah dan Pentaksiran Pusat. Dua komponen bersifat bukan akademik iaitu Pentaksiran Psikometrik (sikap dan personaliti pelajar) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Semoga proses penambahbaikan oleh KPM ini dapat melahirkan insan yang lebih cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi merangkumi bukan akademik dan yang penting mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan mithali.

Friday, January 1, 2010

Cerita Tahun Baru







Menghayati pesanan dari Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom,

1.  Guru menyambut pelajar dengan minda terbuka serta penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi modal insan cemerlang seperti diharapkan ibu bapa dan negara.

2.  Guru selaku teladan, perlu mempamerkan kasih sayang kepada anak didik menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid ketika berkomunikasi dua hala supaya ia ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan dan tidak hanya menjadi tulisan atas pasir yang hilang apabila ditiup angin.

3.  Guru yang menjiwai profesion seharusnya berupaya mengenal pasti dan menggilap bakat serta potensi murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

4.  Semua pendidik perlu membuat persiapan sewajarnya termasuk mengemas kini semua fakta dan ilmu hendak disampaikan dalam mata pelajaran dengan memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi maklumat.

5.  Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan.

6.  Semua warga pendidik perlu menyambut perubahan dengan tangan terbuka dan minda positif.




petikan dari akhbar Berita Harian, 1 Januari 2010


"Berusaha melakukan yang terbaik seperti yang diharapkan"


Monday, December 14, 2009

Ke Garisan...Sedia...Mula



Hari ini ke sekolah untuk menunaikan tanggungjawab memberi kelas tambahan kepada murid-murid yang bakal menempuhi upsr pada tahun depan.  Gambar yang di atas tu tiada kaitan kerana rasa-rasanya taklah sebegitu teruk persiapan saya walaupun 'mood' bercuti masih ada lagi.





Macam biasa, seperti tahun-tahun yang lalu bermulalah episod berkenalan dengan anak-anak murid yang sebelum ni belum pernah mengajar mereka, hanya kenal secara luaran sahaja.  Sekarang ni tengah hafal nama singkatan mereka, tinjau-tinjau latar belakang, intai-intai tingkah laku, teropong perangai dan sudah tentu cuba mencari kelebihan dan keistimewaan yang ada pada setiap anak murid yang bakal berjumpa pada tahun hadapan.  Minggu depan 21 Desember 2009, sekali lagi berjumpa untuk kelas tambahan kali kedua.  Rasa-rasanya bolehlah kenal serba sedikit tabiat yang ada.




Moga segala perancangan yang kita buat untuk P&P pada tahun depan menepati sasaran dan tidak akan dipersoalkan oleh orang lain.  Jadi apa yang penting anak-anak murid adalah pelanggan kita yang perlu kita kenali hati budi mereka, barulah berjaya.


"Cuba menjadi yang terbaik dan sentiasa belajar dari kesilapan lalu"



Thursday, December 3, 2009

Tingkatkan Profesionalisme Guru Setara Taraf Global



Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), sudah semestinyalah dokumen SGM ini untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme guru-guru. Kita sebagai guru sememangnya patut menyokong usaha ini dan merialisasikannya supaya sistem pendidikan negara setanding dengan piawaian global. Sokongan penuh dari semua guru adalah penting di dalam melahirkan modal insan minda kelas pertama seperti mana yang kita inginkan.


Berdasarkan dokumen SGM semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai:



1. Profesionalisme keguruan

Amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri merujuk kepada pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar membolehkan seorang guru itu memberikan sumbangan yang jauh lebih berkesan kepada profesion keguruan dan dapat menjadi seorang guru yang ampuh dan utuh di peringkat global.


Domain kedua ialah profesian yang merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif.


Domain ketiga berkaitan aspek sosial iaitu seorang guru adalah agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Ianya merangkumi semangat bermasyarakat, mempunyai semangat pratiotisme dan hadir di dalam diri sifat kecintaan terhadap alam sekitar.




2. Pengetahuan serta kemahiran pengajaran




Aspek ini menuntut seorang guru memiliki dan mempunyai penguasaan ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan. Guru perlu sentiasa melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif. Ini akan dapat mengubah amalan pengajaran guru supaya dapat menambah baik pengajaran melalui kajian tindakan yang dijalankan. Guru perlu lebih terdedah dengan konsep kajian tindakan supaya sentiasa peka dengan kekuatan dan kelemahan diri di dalam bilik darjah. Guru perlu mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) . Akhir sekali guru mesti mempunyai pengetahuan yang luas supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih bersifat kondusif dan di dalam suasana yang lebih interaktif yang mempunyai pendekatan berpusatkan murid dan bahan.


3. Pembelajaran yang tinggi




Aspek ketiga memfokuskan kepada kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum. Guru perlu lebih peka menilai kecerdasan anak didik mereka dan bukannya tertumpu pada kecerdasan tertentu sahaja. Guru perlu mahir mengurus bilik darjah yang membabitkan kemahiran pengurusan hubungan kemanusian, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai suasana pembelajaran yang jauh lebih berkesan.






Semoga dengan dokumen SGM ini para guru di Malaysia dapat menyahut cabaran dan menjadikan diri seorang pendidik berkualiti dan bertaraf dunia. Insyaallah.







"Kita berusaha sedaya upaya yang mungkin, semoga segala usaha itu dihargai. Harapan agar beban tugas guru berkaitan tugas-tugas perkeranian dapat diringankan supaya SGM bukanlah satu impian semata-mata"



Friday, October 16, 2009

Cikgu Oh Cikgu




Dulu jika kita seorang cikgu, dipandang mulia di sisi masyarakat.
Sekarang cikgu bukan siapa-siapa lagi.
Kenapa?
Dulu jika kita menjadi cikgu dikira hebat.
Sekarang jika kita menjadi cikgu pandang sebelah mata pun orang tak hairan.




Zaman dah berubah.
Sekarang ramai ibu bapa yang hebat, lulusan universiti dalam dan luar negara, gaji ratus ribu, kereta mewah, rumah besar dan siapalah cikgu itu di sisi mereka.




Dulu dikalangan ibubapa hanyalah seorang petani, pekebun, penternak, nelayan yang meletakkan harapan yang tinggi kepada seorang cikgu untuk mendidik anak mereka, sehingga sanggup memberikan rotan dengan kata-kata yang sering diungkapkan, "Cikgu ajarlah anak saya sampai dia jadi orang yang berguna. Kalau nakal cikgu rotanlah. Cuma jangan sampai cacat sudah."




Sekarang ibu bapa tak percaya dengan keupayaan seorang cikgu. Anak mereka jangan disentuh. Kalau nakal biarkan aja, kerana mereka orang yang lebih hebat dan lebih tinggi darjatnya dari seorang cikgu.




Kenapa situasi begini berlaku.
Saya selalu muhasabah diri membezakan antara cikgu yang pernah mengajar saya satu ketika dulu dengan saya sekarang.
Adakah komitmen saya tidak semantap cikgu dulu dan tidak cukup kental jiwanya.
Adakah saya hanya seorang cikgu yang cukup bulan ambil gaji. Cikgu dahulu sanggup berhempas pulas demi anak murid mereka dan sanggup berhujan dan berpanas.
Sampai ke hari ini saya masih teringat jasa cikgu-cikgu saya di SJK Convent dan SMKA Maahad Hamidiah.




Teringat cerita Allahyarham P.Ramle- Masam Masam Manis. Cikgu Sha'ari yang masuk ke kelas dan tulis di papan hitam,
"Che'gu shuka main bola, hari-hari che'gu main bola",
untuk dibaca oleh semua murid dan cikgu tertidur.
Adakah Allahyarham P.Ramle sudah dapat mengagak cikgu-cikgu sekarang akan menjadi seperti itu.
Makan Gaji Buta.
Jika kita seorang cikgu, Tepuk Dada Tanyalah Minda dan Akal




Secara jujurnya bagi saya janganlah dihukum semua cikgu hanya kerana segelintir sahaja yang mempunyai tingkah laku sebegitu.
Ramai lagi cikgu di luar sana yang bersungguh-sungguh di dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira penat lelah dan wang ringgit.
Cikgu yang mempunyai iltizam yang tinggi dan semangat yang membara bukan sahaja mengajar dan menyampaikan ilmu tetapi mendidik sama seperti cikgu-cikgu dulu.







Tugas mendidik di zaman yang serba maju ini tidak semudah yang disangka. Anak-anak telah didedahkan dengan pelbagai teknologi terkini yang ada. Tidak menyalahkan pembangunan tapi ini menjadikan cabaran seorang cikgu semakin bertambah.




Komen pengunjung yang tidak bernama tentang tulisan saya berkaitan: Hukuman atau Denda saya dahului dengan ucapan terima kasih kerana sesungguhnya komen yang disampaikan dalam bentuk cerita itu akan saya jadikan sempadan supaya tidak berkelakuan seperti ustazah tersebut yang memberi hukuman secara membuta tuli.




Saya percaya dengan Hukum Karma iaitu perbuatan yang baik, satu hari nanti Allah akan membalas dengan kebaikan.
Manakala perbuatan yang jahat satu hari nanti akan menerima pembalasannya.
Allah maha adil dan penyanyang.
Siapalah kita hamba yang kerdil untuk membalas perbuatan orang lain.
Suatu hari nanti, ustazah berkenaan pasti akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatannya.




Saya sentiasa ingatkan diri supaya sentiasa menjalankan tugas dengan seikhlas mungkin dan menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin supaya saya dapat menjadi seorang insan yang hebat dan mendapat gaji yang berkat.




Saya sentiasa berdoa semoga perbuatan saya hari ini akan diterima habuannya oleh anak cucu saya di kemudian hari.
Percayalah pada ketentuan Illahi.




"Ya Allah, Kaulah yang Maha Pengasih lagi Penyayang dan Kaulah Maha mengetahui segala-galanya.Amin."


Blog Widget by LinkWithin

E-kad & Award dari teman

Salam Ramadhan
AlongArman