Cerita-cerita motivasi ini saya perolehi hasil dari penulisan seorang pengetua yang pernah mendapat anugerah Pengetua Cemerlang. Ianya menjadi pendorong buat diri saya dan semoga ianya boleh menjadi pendorong dan motivasi buat rakan-rakan yang lain.
Cerita 1
Berdasarkan sifat saya yang tegas saya kerap diberikan mengajar kelas belakang-belakang. Walaupun saya sudah berusaha demi kecemerlangan, keputusan yang dicapai masih di tahap sederhana. Hanya seorang dua yang mampu dapat 'A'.
Saya berjumpa pengetua secara perseorangan untuk menerangkan usaha saya dan kehampaan saya dengan keputusan yang dicapai.
"Saya minta maaf cikgu, saya tidak dapat menghasilkan keputusan yang diharap-harapkan. Saya sudah cuba yang terbaik, tapi..."
"Cikgu Ong, secara jujur saya bertanya. Berdasarkan target individu pelajar adakah ia mencapai sasaran."
"Hampir tepat cikgu. Untuk 'A' target 2, dapat 2; untuk 'B' target 23, dapat 21; untuk 'C' target 48, dapat 50; selebihnya 'D' ".
"Cikgu Ong puas hati dengan keputusan itu?"
"Puas"
"Habis tu apa lagi?"
"Saya bimbang cikgu yang tak puas hati..."
"Cikgu Ong, saya hampir mencecah usia emas, sudah banyak rambut uban, kata orang tanda kebijaksanaan. Saya tidak mudah melenting dan melatah. Bagi saya proses mendidik seperti proses mencuci pakaian. Kalau daripada jenis sutera: celup, bilas dan sidai. Jika jenis rayon, kena basuh dengan tangan perlahan-lahan. Kalau kain kapas pula, kena berus dan kalau belacu kenalah sental kuat. Janji bersih dan yang dibersihkan belacu tetap belacu, tidak mungkin jadi sutera tetapi belacu yang bersih"
Cerita 2
Oleh kerana sudah tiga tahun saya mengajar kelas-kelas peperiksaan, saya terus diamanahkan bagi mengajar kelas peperiksaan pada tahun berikutnya. Sudah berpengalaman alasan yang biasa diberi.
Memang tension mengajar semua kelas peperiksaan. Terasa juga jaki melihat rakan seperjuangan yang tidak mengajar kelas peperiksaan.
Saya beranikan diri berjumpa Guru Penolong Kanan (GPK) supaya memberi saya peluang mengajar tingkatan empat atau enam rendah. GPK saya ketika itu, Cikgu Jaafar memang bagus Public Relationsnya (PR) lalu menjawab, "Sis, mengajar kelas peperiksaan ni seronok. Nantilah saya buktikan."
Selang beberapa minggu, keputusan peperiksaan keluar. Saya menjerit kegembiraan, usaha saya bersama pelajar membuahkan hasil, malah melebihi target. Tiba-tiba saya terdengar suara Cikgu Jaafar, "Kan saya sudah beritahu, mengajar kelas peperiksaan ni seronok!"
Cerita 3
Salah satu pantang besar pengetua saya adalah apabila guru menyerah kalah dan melabel pelajar bodoh. Beliau sentiasa menekankan pelajar mesti dididik dan diasuh sehinggalah ke saat akhir. Dalam unjuran, beliau hendak seratus peratus tidak boleh tidak. Jenuh juga berdebat dengan beliau.
"Jangan sekali-kali cop pelajar hopeless. Mesti berikan mereka harapan dan mesti mempunyai keyakinan pada diri sendiri. Kita boleh menjadi guru terbaik," katanya.
"Saya tidak mahu kita lebih teruk daripada ayam. Ayam tidak pernah menolak telurnya untuk dieram. Malah kalau diletakkan telur itik pun dieramkan juga. Kalau ada telur yang terkeluar, dikuak kembali ke bawah kepaknya. Eram semua."
"Apabila menetas baru tahu tembelang atau tidaknya."
Banyak lagi cerita-cerita motivasi yang ada. Jika berminat untuk meningkatkan lagi kualiti diri anda belilah buku ini.
2 comments:
Salamelekom,wbt cikguku yg tegas!
Ooooo... gitu pula ceritanya yer... Memang dah jangka, cikguku yang tegas ini antara cikgu yang memang hebat orangnya.
Anak murid ini masih menunggu cerita-cerita motivasi yang berikutnya pula...
salam...cikgu iza, mana boleh beli buku tu secara online erk?
Post a Comment