Pages

Friday, February 19, 2010

Saya - Antara Tanggungjawab dan Tugas

 

Sepanjang minggu ke 7 persekolahan, pihak sekolah telah mengadakan aktiviti Ceramah Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan bagi subjek UPSR peringkat dalaman.  Maka pada hari ketiga, 18 Februari 2010 tibalah giliran saya untuk menyampaikan serba sedikit ilmu yang ada untuk dikongsi dengan semua murid tahun 6 SKLJ, pastinya subjek Sains.

Gambar diambil sewaktu saya sedang memberikan tip-tip cara menjawab dengan betul dan teknik-teknik mendapat markah penuh dan banyak lagi.....Gambar-gambar ni semua adalah ihsan dari Encik Ahmad Termizi bin Hj Salleh, terima kasih. Semua guru sains tahun 6 terlibat sama (bukan saya sorang je-kerja kumpulan), saya ditugaskan untuk memberi penerangan bahagian B, Cikgu Man Majid bahagian A dan Cikgu Aziawati membantu saya ketika bengkel dijalankan.



"Kalau ada sape-sape berminat bolehlah jemput saya untuk memberikan teknik2 jawab soalan sains - hihihi gurau je (sapelah saya)"




Wednesday, February 10, 2010

Kenangan Indah

 

Memang benar fb dapat menemukan kita dengan sahabat lama.  Gambar yang disalin dari fb teman lama yang baru terjumpa beberapa hari yang lalu.  Inilah antara kebaikannya.



"Lebih baik melihat kebaikan dari selalu mengintai keburukan"


Monday, February 8, 2010

Optimistik dan bukan Pesimistik

 

Sikap yang optimis adalah faktor penting untuk mencapai kejayaan.

Seseorang yang optimistik ialah orang yang sentiasa mahu melihat sesuatu masalah dengan jangkaan atau harapan baik, dengan erti kata lain sentiasa melihat segala hal daripada sudut kebaikannya.

Individu-individu yang mempunyai estim tinggi mempunyai sikap optimis, manakala mereka yang berestim rendah mempunyai sikap pesimistik.

Seseorang yang bersikap pesimistik sentiasa bersikap atau berpandangan mudah putus harap, segera merasa kecewa atau hilang kepercayaan terhadap sesuatu.

Estim mempunyai kaitan yang rapat dengan kejayaan.

Oleh itu tugas guru ialah menjadi pendorong iaitu mengasuh murid-murid supaya mempunyai sikap optimis dalam kehidupan dan seterusnya dapat membina estim yang tinggi

"Bersikap Optimis di dalam mendidik anak lebih-lebih lagi Nuqman"


Saturday, February 6, 2010

Kesabaranku Terkadang Goyah


Nuqman seorang anak yang cukup istimewa buat diriku dan suami.  Semalam Nuqman sekali lagi berjaya meloloskan diri tanpa pengetahuan sesiapa.  Kealpaan yang terkadang mengundang padah.  Setelah aku dan suami beserta anak-anak yang lain mencari di sekitar taman, masjid, Nuqman berjaya dijumpai setelah hampir 40 minit menghilangkan diri.  Nuqman...tiada apa-apa yang berlaku, bahkan dia kelihatan seronok kerana berjaya membuatkan kami sekeluarga risau dan gelisah.  Ah, kesabaranku terkadang goyah dengan kerenahnya. 


"Nuqman kenapa buat mama macam ni"

Wednesday, February 3, 2010

Terima Kasih

 

Setelah sekian lama menyepikan diri, maka tibalah saatnya untuk kembali aktif semula 'berblog' ni.  Cerita yang nak ditampilkan pun terasa dah suam-suam kuku tapi belum basi lagi tau.  23 Januari 2010 (Sabtu) yang lepas saya beserta tiga anak- anak murid yang rajin telah hadir ke sekolah di kala teman-teman yang lain rehat di rumah untuk membersihkan makmal.  Terima kasih Muhammad Jafni bin Aldisak, Muhammad Hakimi Firdaus bin Osman dan Mohd Rizwan Shah bin Halim.  Kalian memang rajin.


 

Sambil membersihkan makmal sempat juga 'berposing', penting tu supaya bekerja dalam keadaan ceria.  Habuk yang degil berjaya ditewaskan akhirnya, semuanya nampak berkilat seakan baru.  Kalau tak percaya cuba tenung gambar tu lama-lama.

 

Selesai mengemas dan membersihkan apa yang patut, apa lagi 'santap time'.  Saya menyediakan dua menu mee goreng dan nasi goreng beserta air sirap.  Seronok tengok anak-anak murid berselera makan.  Lebih kurang dalam pukul 11.30 maka saya pun pulanglah ke rumah, nak bersihkan rumah sendiri pula.

Pada hari yang sama lebih kurang pukul 3.30 petang, saya mendapat sebuah sampul misteri dari Sabah.  Berdebar-debar rasa hati, seingat saya tiada kenalan dari 'negeri di bawah bayu'.  Di sebalik sampul surat yang biasa, tersimpan pemberian yang begitu istimewa, cantik, comel dan bagi saya begitu berharga dari seorang sahabat, Abang Bent.  Sepatutnya ucapan terima kasih perlu diberikan dikala saya menerima hadiah tersebut, tapi maafkan saya abgbent, ucapan itu terlalu lewat diberikan.  


 
Inilah 'hadiah' yang saya dapat, 'cute' kan.  Saya mula terfikir memang benar, nilai sebuah persahabatan tiada sebarang sempadan.  Abgbent yang hanya dikenali di alam maya, tanpa mengenali rupa hanya dengan berangan-angan rupa setampan ehm..ehm.. tapi terjalinnya satu ikatan persahabatan sesama insan seperti yang selalu diungkapkan di dalam setiap coretan abgbent "Anda yang saya kenali sebagai saudara yang dikasihi kerana DIA"... membawa pengertian yang begitu mendalam.

 

Terasa begitu beruntungnya mempunyai ramai teman-teman, walaupun kita tidak pernah bersua tetapi kalian tetap dalam ingatan...abgbent, adik seri, cikgu myri, ustz eds,  secangkir madu merah(yati), adik Nick Irfan, Insan Pendidik dan ramai lagi..


"Cinta dan bersatu adalah asas kekuatan dan kejayaan, sedangkan perselisihan dan perpecahan adalah asas kelemahan dan kehinaan" - Imam Hasan Al-Banna






Saturday, January 9, 2010

Yang Pertama



Kita baru bertatih,
orang lain sudah berjalan.
Bila kita mula berjalan,
orang lain sudah pantas berlari.
Kita mula ikut berlari,
malangnya orang lain sudah sampai ke benua sana.
Kenapa kita selalu menjadi orang kedua,
tidak yang pertama.
Aku ingin mara untuk jadi yang pertama. 



"Nasib dan takdir bukan untuk disalahkan tapi kita perlu berubah demi kebaikan"





Friday, January 1, 2010

Cerita Tahun Baru







Menghayati pesanan dari Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom,

1.  Guru menyambut pelajar dengan minda terbuka serta penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi modal insan cemerlang seperti diharapkan ibu bapa dan negara.

2.  Guru selaku teladan, perlu mempamerkan kasih sayang kepada anak didik menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid ketika berkomunikasi dua hala supaya ia ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan dan tidak hanya menjadi tulisan atas pasir yang hilang apabila ditiup angin.

3.  Guru yang menjiwai profesion seharusnya berupaya mengenal pasti dan menggilap bakat serta potensi murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

4.  Semua pendidik perlu membuat persiapan sewajarnya termasuk mengemas kini semua fakta dan ilmu hendak disampaikan dalam mata pelajaran dengan memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi maklumat.

5.  Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan.

6.  Semua warga pendidik perlu menyambut perubahan dengan tangan terbuka dan minda positif.




petikan dari akhbar Berita Harian, 1 Januari 2010


"Berusaha melakukan yang terbaik seperti yang diharapkan"


Tuesday, December 29, 2009

Aku Si Guru Kecil



Aku sedih...
aku pilu...
aku pasrah...
aku terima semuanya, segalanya
tapi hatiku tertanya-tanya
adakah pemberatan tanggungjawab pakat sama rasa
aku lagi...lagi...lagi...
bukan dia, awak, kamu
tapi aku
aku merintih
apakan daya
aku hanya si guru kecil


"sekadar bicara rasa"


Friday, December 18, 2009

Bicara Teman Salam Maal Hijrah 1431



Indah tutur kadang mengata
Cantik bahasa kadang berpura
Gurau senda kadang terluka
Gerak laku kadang mengada
Janji manis kadang terlupa
Detik hati kadang prasangka
Salah dan silap kelemahan manusia
Ampun dan Maaf jua dipinta
Ceria selalu dalam REDHANYA


......dari teman Ahmad Syakir 'exclassmate' SMKA Maahad Hamidiah.  Terima kasih di atas sms yang dikirim.


Sewaktu 'bersiar-siar' ke 'rumah' teman-teman maya, maka terlihatlah "simple card" itu yang ditulis oleh DrAraz tapi bagi saya menarik dan cantik.  Terima kasih...........





"Memori lalu bersama teman-teman tetap segar dalam ingatan"




Thursday, December 17, 2009

Hantar Anak



Hari ini saya dan suami menghantar dua orang anak kami mengikuti Kem Motivasi dan Program Anak Soleh yang bertempat di SMA Tarbiah Diniah, Kulim Kedah.  Sepanjang cuti sekolah, asyik main je, jadi suami mengambil keputusan dua hero kami ni ikut serta kem tersebut supaya pengisian cuti sekolah mereka lebih bermakna.




Sempat lagi 'berposing' selepas pendaftaran dan yang paling terlebih 'posing' tu, yang tak terlibat langsung dengan program.  Nak buat macam mana, bongsulah katakan.



Setelah selesai serba sedikit penerangan dari Ustaz Suhaili, peserta diarahkan ke asrama dan solat asar berjemaah.  Anak-anak tak ada masalah, seronok tapi emaknya yang risau lebih.  Setelah semuanya selesai saya dan suami berangkat pulang.



"Terasa sunyi"


Monday, December 14, 2009

Ke Garisan...Sedia...Mula



Hari ini ke sekolah untuk menunaikan tanggungjawab memberi kelas tambahan kepada murid-murid yang bakal menempuhi upsr pada tahun depan.  Gambar yang di atas tu tiada kaitan kerana rasa-rasanya taklah sebegitu teruk persiapan saya walaupun 'mood' bercuti masih ada lagi.





Macam biasa, seperti tahun-tahun yang lalu bermulalah episod berkenalan dengan anak-anak murid yang sebelum ni belum pernah mengajar mereka, hanya kenal secara luaran sahaja.  Sekarang ni tengah hafal nama singkatan mereka, tinjau-tinjau latar belakang, intai-intai tingkah laku, teropong perangai dan sudah tentu cuba mencari kelebihan dan keistimewaan yang ada pada setiap anak murid yang bakal berjumpa pada tahun hadapan.  Minggu depan 21 Desember 2009, sekali lagi berjumpa untuk kelas tambahan kali kedua.  Rasa-rasanya bolehlah kenal serba sedikit tabiat yang ada.




Moga segala perancangan yang kita buat untuk P&P pada tahun depan menepati sasaran dan tidak akan dipersoalkan oleh orang lain.  Jadi apa yang penting anak-anak murid adalah pelanggan kita yang perlu kita kenali hati budi mereka, barulah berjaya.


"Cuba menjadi yang terbaik dan sentiasa belajar dari kesilapan lalu"



Sunday, December 13, 2009

REMEMBER ME




Remember me when you're alone,
Remember me when you're sad,
Remember me when you want to hold my hand,
Only remember me, you understand;
Yet if you should forget me for a while,
And afterwards remember, do not grieve;
 Cause I will gone away,
Than that you should remember and be sad,
You will realize, I'm the one
that you should not forget....




"Remember me in your heart"







Friday, December 11, 2009

[Accountable & Responsible]


Saya baru sahaja habis membaca sebuah novel oleh novelis thriller nomber 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid yang bertajuk 9 nyawa. Ungkapan pada kulit novel tersebut 'mata hati tidak pernah berdusta' membawa seribu pengertian.

Teruja dengan gaya olahan cerita yang menarik dan mendebarkan, saya memang sentiasa ternanti-nanti hasil karyanya yang terbaru. Bukan mahu mengulas berkaitan novel tersebut tetapi apabila selesai sahaja membaca hati tertanya-tanya akan 'accountable & responsible' diri kita.

Marilah kita bertanya pada diri beberapa soalan ini:

"Sudikah aku berkahwin dengan diriku"

"Sudikah aku menyintai diriku"

"Sudikah aku menjadi sahabat karib diriku"

"Sudikah aku menerima diriku sebagai ketua"

"Sudikah aku menerima diriku sebagai pekerja"
dsbgnya...


Apakah jawapan kita:

"Mungkin atau sudah tentu atau tak pasti"

atau tiada jawapan.




Maka bertitik tolak dari situlah timbulnya persoalan 'accountable & responsible'


-tanggungjawab, bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan, pertanggungjawapan-






"Aku perlu sentiasa menyelami mata hatiku"



Saturday, December 5, 2009

Kenduri...Kenduri...Kenduri...


Musim cuti telah tersedia,
kenduri kahwin di sini sana,
undangan majlis penuh bicara,
tanpa seloka tawar rasanya.


Kad kahwin berbagai rupa,
cantik hiasan tidak terhingga,
ada yang wangi harumannya,
menarik undangan untuk ke sana.


Adat Melayu bertakhta di hati,
sekapur sirih menambah seri,
kehadiran undangan memang dinanti,
bersama merai raja sehari.


Beras kunyit di taburi,
Air mawar direnjis wangi,
berkembang kasih menabur budi,
undangan diterima setulus hati.





"Lagi lama hidup bersama, semakin faham isi hatinya, semakin mendalam rasa cinta"



Thursday, December 3, 2009

Tingkatkan Profesionalisme Guru Setara Taraf Global



Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), sudah semestinyalah dokumen SGM ini untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme guru-guru. Kita sebagai guru sememangnya patut menyokong usaha ini dan merialisasikannya supaya sistem pendidikan negara setanding dengan piawaian global. Sokongan penuh dari semua guru adalah penting di dalam melahirkan modal insan minda kelas pertama seperti mana yang kita inginkan.


Berdasarkan dokumen SGM semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai:



1. Profesionalisme keguruan

Amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri merujuk kepada pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar membolehkan seorang guru itu memberikan sumbangan yang jauh lebih berkesan kepada profesion keguruan dan dapat menjadi seorang guru yang ampuh dan utuh di peringkat global.


Domain kedua ialah profesian yang merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif.


Domain ketiga berkaitan aspek sosial iaitu seorang guru adalah agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Ianya merangkumi semangat bermasyarakat, mempunyai semangat pratiotisme dan hadir di dalam diri sifat kecintaan terhadap alam sekitar.




2. Pengetahuan serta kemahiran pengajaran




Aspek ini menuntut seorang guru memiliki dan mempunyai penguasaan ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan. Guru perlu sentiasa melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif. Ini akan dapat mengubah amalan pengajaran guru supaya dapat menambah baik pengajaran melalui kajian tindakan yang dijalankan. Guru perlu lebih terdedah dengan konsep kajian tindakan supaya sentiasa peka dengan kekuatan dan kelemahan diri di dalam bilik darjah. Guru perlu mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) . Akhir sekali guru mesti mempunyai pengetahuan yang luas supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih bersifat kondusif dan di dalam suasana yang lebih interaktif yang mempunyai pendekatan berpusatkan murid dan bahan.


3. Pembelajaran yang tinggi




Aspek ketiga memfokuskan kepada kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum. Guru perlu lebih peka menilai kecerdasan anak didik mereka dan bukannya tertumpu pada kecerdasan tertentu sahaja. Guru perlu mahir mengurus bilik darjah yang membabitkan kemahiran pengurusan hubungan kemanusian, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai suasana pembelajaran yang jauh lebih berkesan.






Semoga dengan dokumen SGM ini para guru di Malaysia dapat menyahut cabaran dan menjadikan diri seorang pendidik berkualiti dan bertaraf dunia. Insyaallah.







"Kita berusaha sedaya upaya yang mungkin, semoga segala usaha itu dihargai. Harapan agar beban tugas guru berkaitan tugas-tugas perkeranian dapat diringankan supaya SGM bukanlah satu impian semata-mata"



Blog Widget by LinkWithin

E-kad & Award dari teman

Salam Ramadhan
AlongArman