Pages

Saturday, January 9, 2010

Yang Pertama



Kita baru bertatih,
orang lain sudah berjalan.
Bila kita mula berjalan,
orang lain sudah pantas berlari.
Kita mula ikut berlari,
malangnya orang lain sudah sampai ke benua sana.
Kenapa kita selalu menjadi orang kedua,
tidak yang pertama.
Aku ingin mara untuk jadi yang pertama. 



"Nasib dan takdir bukan untuk disalahkan tapi kita perlu berubah demi kebaikan"





Friday, January 1, 2010

Cerita Tahun Baru







Menghayati pesanan dari Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom,

1.  Guru menyambut pelajar dengan minda terbuka serta penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi modal insan cemerlang seperti diharapkan ibu bapa dan negara.

2.  Guru selaku teladan, perlu mempamerkan kasih sayang kepada anak didik menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid ketika berkomunikasi dua hala supaya ia ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan dan tidak hanya menjadi tulisan atas pasir yang hilang apabila ditiup angin.

3.  Guru yang menjiwai profesion seharusnya berupaya mengenal pasti dan menggilap bakat serta potensi murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

4.  Semua pendidik perlu membuat persiapan sewajarnya termasuk mengemas kini semua fakta dan ilmu hendak disampaikan dalam mata pelajaran dengan memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi maklumat.

5.  Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan.

6.  Semua warga pendidik perlu menyambut perubahan dengan tangan terbuka dan minda positif.




petikan dari akhbar Berita Harian, 1 Januari 2010


"Berusaha melakukan yang terbaik seperti yang diharapkan"


Tuesday, December 29, 2009

Aku Si Guru Kecil



Aku sedih...
aku pilu...
aku pasrah...
aku terima semuanya, segalanya
tapi hatiku tertanya-tanya
adakah pemberatan tanggungjawab pakat sama rasa
aku lagi...lagi...lagi...
bukan dia, awak, kamu
tapi aku
aku merintih
apakan daya
aku hanya si guru kecil


"sekadar bicara rasa"


Friday, December 18, 2009

Bicara Teman Salam Maal Hijrah 1431



Indah tutur kadang mengata
Cantik bahasa kadang berpura
Gurau senda kadang terluka
Gerak laku kadang mengada
Janji manis kadang terlupa
Detik hati kadang prasangka
Salah dan silap kelemahan manusia
Ampun dan Maaf jua dipinta
Ceria selalu dalam REDHANYA


......dari teman Ahmad Syakir 'exclassmate' SMKA Maahad Hamidiah.  Terima kasih di atas sms yang dikirim.


Sewaktu 'bersiar-siar' ke 'rumah' teman-teman maya, maka terlihatlah "simple card" itu yang ditulis oleh DrAraz tapi bagi saya menarik dan cantik.  Terima kasih...........





"Memori lalu bersama teman-teman tetap segar dalam ingatan"




Thursday, December 17, 2009

Hantar Anak



Hari ini saya dan suami menghantar dua orang anak kami mengikuti Kem Motivasi dan Program Anak Soleh yang bertempat di SMA Tarbiah Diniah, Kulim Kedah.  Sepanjang cuti sekolah, asyik main je, jadi suami mengambil keputusan dua hero kami ni ikut serta kem tersebut supaya pengisian cuti sekolah mereka lebih bermakna.




Sempat lagi 'berposing' selepas pendaftaran dan yang paling terlebih 'posing' tu, yang tak terlibat langsung dengan program.  Nak buat macam mana, bongsulah katakan.



Setelah selesai serba sedikit penerangan dari Ustaz Suhaili, peserta diarahkan ke asrama dan solat asar berjemaah.  Anak-anak tak ada masalah, seronok tapi emaknya yang risau lebih.  Setelah semuanya selesai saya dan suami berangkat pulang.



"Terasa sunyi"


Monday, December 14, 2009

Ke Garisan...Sedia...Mula



Hari ini ke sekolah untuk menunaikan tanggungjawab memberi kelas tambahan kepada murid-murid yang bakal menempuhi upsr pada tahun depan.  Gambar yang di atas tu tiada kaitan kerana rasa-rasanya taklah sebegitu teruk persiapan saya walaupun 'mood' bercuti masih ada lagi.





Macam biasa, seperti tahun-tahun yang lalu bermulalah episod berkenalan dengan anak-anak murid yang sebelum ni belum pernah mengajar mereka, hanya kenal secara luaran sahaja.  Sekarang ni tengah hafal nama singkatan mereka, tinjau-tinjau latar belakang, intai-intai tingkah laku, teropong perangai dan sudah tentu cuba mencari kelebihan dan keistimewaan yang ada pada setiap anak murid yang bakal berjumpa pada tahun hadapan.  Minggu depan 21 Desember 2009, sekali lagi berjumpa untuk kelas tambahan kali kedua.  Rasa-rasanya bolehlah kenal serba sedikit tabiat yang ada.




Moga segala perancangan yang kita buat untuk P&P pada tahun depan menepati sasaran dan tidak akan dipersoalkan oleh orang lain.  Jadi apa yang penting anak-anak murid adalah pelanggan kita yang perlu kita kenali hati budi mereka, barulah berjaya.


"Cuba menjadi yang terbaik dan sentiasa belajar dari kesilapan lalu"



Sunday, December 13, 2009

REMEMBER ME




Remember me when you're alone,
Remember me when you're sad,
Remember me when you want to hold my hand,
Only remember me, you understand;
Yet if you should forget me for a while,
And afterwards remember, do not grieve;
 Cause I will gone away,
Than that you should remember and be sad,
You will realize, I'm the one
that you should not forget....




"Remember me in your heart"







Friday, December 11, 2009

[Accountable & Responsible]


Saya baru sahaja habis membaca sebuah novel oleh novelis thriller nomber 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid yang bertajuk 9 nyawa. Ungkapan pada kulit novel tersebut 'mata hati tidak pernah berdusta' membawa seribu pengertian.

Teruja dengan gaya olahan cerita yang menarik dan mendebarkan, saya memang sentiasa ternanti-nanti hasil karyanya yang terbaru. Bukan mahu mengulas berkaitan novel tersebut tetapi apabila selesai sahaja membaca hati tertanya-tanya akan 'accountable & responsible' diri kita.

Marilah kita bertanya pada diri beberapa soalan ini:

"Sudikah aku berkahwin dengan diriku"

"Sudikah aku menyintai diriku"

"Sudikah aku menjadi sahabat karib diriku"

"Sudikah aku menerima diriku sebagai ketua"

"Sudikah aku menerima diriku sebagai pekerja"
dsbgnya...


Apakah jawapan kita:

"Mungkin atau sudah tentu atau tak pasti"

atau tiada jawapan.




Maka bertitik tolak dari situlah timbulnya persoalan 'accountable & responsible'


-tanggungjawab, bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan, pertanggungjawapan-






"Aku perlu sentiasa menyelami mata hatiku"



Saturday, December 5, 2009

Kenduri...Kenduri...Kenduri...


Musim cuti telah tersedia,
kenduri kahwin di sini sana,
undangan majlis penuh bicara,
tanpa seloka tawar rasanya.


Kad kahwin berbagai rupa,
cantik hiasan tidak terhingga,
ada yang wangi harumannya,
menarik undangan untuk ke sana.


Adat Melayu bertakhta di hati,
sekapur sirih menambah seri,
kehadiran undangan memang dinanti,
bersama merai raja sehari.


Beras kunyit di taburi,
Air mawar direnjis wangi,
berkembang kasih menabur budi,
undangan diterima setulus hati.





"Lagi lama hidup bersama, semakin faham isi hatinya, semakin mendalam rasa cinta"



Thursday, December 3, 2009

Tingkatkan Profesionalisme Guru Setara Taraf Global



Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), sudah semestinyalah dokumen SGM ini untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme guru-guru. Kita sebagai guru sememangnya patut menyokong usaha ini dan merialisasikannya supaya sistem pendidikan negara setanding dengan piawaian global. Sokongan penuh dari semua guru adalah penting di dalam melahirkan modal insan minda kelas pertama seperti mana yang kita inginkan.


Berdasarkan dokumen SGM semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai:



1. Profesionalisme keguruan

Amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri merujuk kepada pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar membolehkan seorang guru itu memberikan sumbangan yang jauh lebih berkesan kepada profesion keguruan dan dapat menjadi seorang guru yang ampuh dan utuh di peringkat global.


Domain kedua ialah profesian yang merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif.


Domain ketiga berkaitan aspek sosial iaitu seorang guru adalah agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Ianya merangkumi semangat bermasyarakat, mempunyai semangat pratiotisme dan hadir di dalam diri sifat kecintaan terhadap alam sekitar.




2. Pengetahuan serta kemahiran pengajaran




Aspek ini menuntut seorang guru memiliki dan mempunyai penguasaan ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan. Guru perlu sentiasa melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif. Ini akan dapat mengubah amalan pengajaran guru supaya dapat menambah baik pengajaran melalui kajian tindakan yang dijalankan. Guru perlu lebih terdedah dengan konsep kajian tindakan supaya sentiasa peka dengan kekuatan dan kelemahan diri di dalam bilik darjah. Guru perlu mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) . Akhir sekali guru mesti mempunyai pengetahuan yang luas supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih bersifat kondusif dan di dalam suasana yang lebih interaktif yang mempunyai pendekatan berpusatkan murid dan bahan.


3. Pembelajaran yang tinggi




Aspek ketiga memfokuskan kepada kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum. Guru perlu lebih peka menilai kecerdasan anak didik mereka dan bukannya tertumpu pada kecerdasan tertentu sahaja. Guru perlu mahir mengurus bilik darjah yang membabitkan kemahiran pengurusan hubungan kemanusian, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai suasana pembelajaran yang jauh lebih berkesan.






Semoga dengan dokumen SGM ini para guru di Malaysia dapat menyahut cabaran dan menjadikan diri seorang pendidik berkualiti dan bertaraf dunia. Insyaallah.







"Kita berusaha sedaya upaya yang mungkin, semoga segala usaha itu dihargai. Harapan agar beban tugas guru berkaitan tugas-tugas perkeranian dapat diringankan supaya SGM bukanlah satu impian semata-mata"



Tuesday, November 24, 2009

Panduan Bersikap Romantik dan Penyayang




Jadilah seorang suami atau isteri yang penuh dengan sifat-sifat romantik,

Bagaimana?
Mestilah


Mempunyai kemahiran pujuk memujuk yang tinggi


Menunjukkan kemesraan melalui belaian dan sentuhan


Menghargai konsep cinta mencintai


Mengungkapkan kata cinta melalui luahan bicara


Meluangkan masa untuk bersama secara lebih berkualiti


Mengingati hari-hari istimewa


Menghargai dengan hadiah dan pujian






"Alangkah seronoknya kalau hari-hari yang dilalui sentiasa dihargai"



Friday, November 20, 2009

Alhamdulillah, muridku berjaya dan anakku juga



Syukur Alhamdulillah, itulah ucapan yang mula-mula terkeluar dari bibir apabila keputusan UPSR diketahui. Seramai 19 orang murid berjaya mendapat 5 A dan 11 orang 4 A berbanding tahun lepas 8 orang mendapat 5 A.


Kejayaan peribadi peratus bagi subjek sains meningkat dari 79.4% kepada 87%. Seronok tak terkata kerana murid-murid 6 UPM yang dibimbing selama ini, yang mendapat D telah lulus dan ada yang mendapat B. Cikgu amat berbangga dengan kalian.
6 UKM pula, bagi 8 orang yang berjaya mendapat A, cikgu ucapkan tahniah. Semua murid-muridku, ingatlah perjalananmu masih jauh teruslah berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Keseluruhan bagi subjek sains seramai 37 murid berjaya mendapat A.




"Gagal Mengajar Kita Mencari Peluang Untuk Berjaya"



Perkhemahan Tahunan BSMM Negeri Kedah

17 November - 19 November 2009 : Guru Pengiring / Jurulatih Perkhemahan Tahunan BSMM Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2009 di Pusat Kokurikulum PPD Kota Setar



Melibatkan diri dengan aktiviti perkhemahan tahunan Bulan Sabit Merah Malaysia Sekolah Menengah peringkat Negeri Kedah. Walaupun letih tapi seronok kerana kerjasama yang diberikan amatlah memuaskan.


Aktiviti-aktiviti yang dijalankan berkaitan pertolongan cemas yang dipelajari sepanjang hari kedua perkhemahan.

Tidak dapat meneruskan tugas sehingga hari ketiga perkhemahan kerana terpaksa berada di sekolah pada hari Khamis - 19 November 2009 untuk menguruskan slip keputusan UPSR 2009, maklumlah salah seorang guru kelas Tahun 6.

Walaupun tidak dapat melibatkan diri pada hari ketiga, tanggungjawab tetap diteruskan. Menunggu sehingga semua pelajar selamat pulang dan dijemput oleh penjaga masing-masing di perkarangan PPD Kulim Bandar Baharu sehinggalah pukul 9.00 malam.

"Pengalaman Hidup Adalah Pelajaran Terbaik"

Saturday, November 14, 2009

Empat Cerita Dalam Satu

Kekadang kesibukan tugas adalah musuh utama untuk menghasilkan ilham yang baik. Penulisan yang bermutu memerlukan penghayatan dan ketenangan jiwa. Menghasilkan karya seni bukanlah sesuatu yang mudah bagi orang seperti saya yang minat sains, mengajar sains, terapkan konsep sains tetapi berjiwa sastera. Kemahiran yang kurang di dalam kiasan metafora yang bisa mengasyikkan pembaca tetapi masih mahu mencuba mengasah bakat yang tak seberapa.



Pendahuluan bicara yang tak seiring dengan cerita yang hendak dibawa. Sebenarnya nak menceritakan tentang kesibukan sepanjang dua minggu kebelakangan ini.





4 November 2009, Rabu - Persembahan Rekacipta Alat Muzik dari Bahan Terbuang



Murid Tahun 6 menunjukkan bakat masing-masing sama ada secara individu atau berpasangan menerangkan alat muzik yang direka dan memainkannya untuk diberikan markah oleh saya iaitu guru yang bertanggungjawab menyelaras aktiviti ini.







Hasil ciptaan yang ditonjolkan oleh murid-murid tahun 6 begitu kreatif dan ada yang mempunyai imaginatif yang tinggi. Syabas kepada semua murid tahun 6.






5 November 2009, Khamis - Lawatan Sambil Belajar ke Taiping




Sekitar Hutan Paya Matang, berjalan-jalan sambil melihat keindahan alam ciptaan tuhan. Kemudian diberi sedikit taklimat cara pembuatan arang di kilang arang. Banyak maklumat yang diperolehi di sini.




Lawatan diteruskan ke zoo dan muzium. Kalau dah ke Taiping tak sah kalau tak ke zoo.









5 November 2009 & 6 November 2009 - Perkhemahan Unit Uniform Tahun 4 & 5



Selaku guru pemimpin PBSM terpaksalah tinggalkan anak buah pada hari Khamis kerana terlibat dengan lawatan tahun 6. Terpaksalah tebus balik dan terus mengaktifkan diri pada hari Jumaat. Bertanggungjawab sebagai AJK masak memasak, pada petang Khamis bawa balik sardin untuk dimasak di rumah untuk dibuat sandwich. Pagi Jumaat selesai solat subuh terus ke sekolah bersama-sama sardin yang telah siap dimasak. Sempatlah mengambil gambar rakan-rakan yang sedang menyiapkan sandwich.



Aktiviti terakhir, persembahan dari semua kumpulan yang terlibat. Diikuti oleh ucapan PK Koku dan ucapan perasmian dan penutupan oleh Tuan Guru Besar.










8 November 2009 hingga 12 November 2009 - Guru Bertugas Mingguan


Sepanjang minggu bertugas, terasalah sibuk lebih sikit berbanding dengan minggu-minggu yang lain. Bertugas berdua tetapi saya diberi tanggungjawab untuk mengupas tajuk berkaitan Jati Diri pada perhimpunan rasmi hari Ahad. Menghilangkan kebosanan murid, saya cuma memberikan maksud dan seterusnya mendeklamasikan sajak.



Sajak dimulakan dengan pantun...





Hendak bajak diberi bajak,
dalam bajak ada bidara;
hendak sajak diberi sajak,
dalam sajak ada bicara.





Setiap detik berlalu,
mengimbas igauan ngeri,
pahit maung, perit jerih, suka duka,
keringat pahlawan kita.


Mengimbau perjuangan mereka,
mengusik getaran jiwa,
maka penuhilah tasdiknya jati diri.
pada agamamu,
pada dirimu,
pada keluargamu,
pada sekolahmu,
pada masyarakatmu,
pada bangsamu,
jangan kau lupa...
pada negaramu.


Semoga kau...
sentiasa diingati,
sentiasa dihormati,
sentiasa digeruni,
sentiasa disegani,
kerana sifat jati dirimu...


Moga ketakwaan,
kemanisan rasa,
moga keluhuran hati,
keindahan setia,
moga keutuhan dirimu,
membawa sopan jati diri kita,
untuk sekian lamanya...





"Jangan jadikan kesibukan diri sebagai alasan terlunturnya Jati Diri Kita"




Sunday, November 1, 2009

Mati Itu Pasti




SEMBAHYANGLAH KAMU SEBELUM KAMU DISEMBAHYANGKAN



Kelu lidah, hilang kata-kata apabila pada hari Sabtu, 31 Oktober 2009 lebih kurang 8.41 pagi, suami mendapat panggilan, berita kematian adik iparnya. Terkejut dengan perkhabaran itu, kerana pada penglihatan kasar arwah kelihatan sihat. Usia yang muda bukanlah bererti kematian masih jauh untuk menggapai kita kerana kematian itu pasti berlaku.



Saat ini hati tertanya-tanya, jika ditakdirkan aku akan pergi untuk selama-lamanya, adakah aku sudah cukup bersedia dengan amalanku selama ini. Adakah aku terlalu sayangkan dunia yang sementara untuk menuju ke perhentian terakhir yang kekal.



Kehidupan dunia boleh diibaratkan sebagai kebun yang jika dijaga dan dibaja hasil tanaman dengan sebaik mungkin maka berbahagialah kita di syurga kelak, tetapi jika sebaliknya maka terjerumuslah kita ke neraka.



"Ku bermohon kepadaMu Ya Allah agar harta dunia tidak akan melalaikan diriku daripada mengingatiMu"




Blog Widget by LinkWithin

E-kad & Award dari teman

Salam Ramadhan
AlongArman