Kekadang kesibukan tugas adalah musuh utama untuk menghasilkan ilham yang baik. Penulisan yang bermutu memerlukan penghayatan dan ketenangan jiwa. Menghasilkan karya seni bukanlah sesuatu yang mudah bagi orang seperti saya yang minat sains, mengajar sains, terapkan konsep sains tetapi berjiwa sastera. Kemahiran yang kurang di dalam kiasan metafora yang bisa mengasyikkan pembaca tetapi masih mahu mencuba mengasah bakat yang tak seberapa.
Pendahuluan bicara yang tak seiring dengan cerita yang hendak dibawa. Sebenarnya nak menceritakan tentang kesibukan sepanjang dua minggu kebelakangan ini.
4 November 2009, Rabu - Persembahan Rekacipta Alat Muzik dari Bahan TerbuangMurid Tahun 6 menunjukkan bakat masing-masing sama ada secara individu atau berpasangan menerangkan alat muzik yang direka dan memainkannya untuk diberikan markah oleh saya iaitu guru yang bertanggungjawab menyelaras aktiviti ini.

Hasil ciptaan yang ditonjolkan oleh murid-murid tahun 6 begitu kreatif dan ada yang mempunyai imaginatif yang tinggi. Syabas kepada semua murid tahun 6.

5 November 2009, Khamis - Lawatan Sambil Belajar ke Taiping
Sekitar Hutan Paya Matang, berjalan-jalan sambil melihat keindahan alam ciptaan tuhan. Kemudian diberi sedikit taklimat cara pembuatan arang di kilang arang. Banyak maklumat yang diperolehi di sini.

Lawatan diteruskan ke zoo dan muzium. Kalau dah ke Taiping tak sah kalau tak ke zoo.

5 November 2009 & 6 November 2009 - Perkhemahan Unit Uniform Tahun 4 & 5
Selaku guru pemimpin PBSM terpaksalah tinggalkan anak buah pada hari Khamis kerana terlibat dengan lawatan tahun 6. Terpaksalah tebus balik dan terus mengaktifkan diri pada hari Jumaat. Bertanggungjawab sebagai AJK masak memasak, pada petang Khamis bawa balik sardin untuk dimasak di rumah untuk dibuat sandwich. Pagi Jumaat selesai solat subuh terus ke sekolah bersama-sama sardin yang telah siap dimasak. Sempatlah mengambil gambar rakan-rakan yang sedang menyiapkan sandwich.
Aktiviti terakhir, persembahan dari semua kumpulan yang terlibat. Diikuti oleh ucapan PK Koku dan ucapan perasmian dan penutupan oleh Tuan Guru Besar.
8 November 2009 hingga 12 November 2009 - Guru Bertugas MingguanSepanjang minggu bertugas, terasalah sibuk lebih sikit berbanding dengan minggu-minggu yang lain. Bertugas berdua tetapi saya diberi tanggungjawab untuk mengupas tajuk berkaitan Jati Diri pada perhimpunan rasmi hari Ahad. Menghilangkan kebosanan murid, saya cuma memberikan maksud dan seterusnya mendeklamasikan sajak.
Sajak dimulakan dengan pantun...
Hendak bajak diberi bajak,dalam bajak ada bidara;hendak sajak diberi sajak,dalam sajak ada bicara.Setiap detik berlalu,
mengimbas igauan ngeri,
pahit maung, perit jerih, suka duka,
keringat pahlawan kita.
Mengimbau perjuangan mereka,
mengusik getaran jiwa,
maka penuhilah tasdiknya jati diri.
pada agamamu,
pada dirimu,
pada keluargamu,
pada sekolahmu,
pada masyarakatmu,
pada bangsamu,
jangan kau lupa...
pada negaramu.
Semoga kau...
sentiasa diingati,
sentiasa dihormati,
sentiasa digeruni,
sentiasa disegani,
kerana sifat jati dirimu...
Moga ketakwaan,
kemanisan rasa,
moga keluhuran hati,
keindahan setia,
moga keutuhan dirimu,
membawa sopan jati diri kita,
untuk sekian lamanya...
"Jangan jadikan kesibukan diri sebagai alasan terlunturnya Jati Diri Kita"