Pages

Friday, December 16, 2016

Percutian ke Luar Negara Satu Yang Mustahil?

Rasanya dah berkurun lamanya tak aktifkan blog ni. Terlalu banyak sawang dan perlu dibersihkan.
Mulai pada saat dan tika ini, ku berazam untuk mengaktifkan diri dan menceriakan kembali blog ini, supaya dapat memberi manafaat pada ramai sahabat, rakan dan taulan. In Sya Allah dengan izinNya jua...

Musim-musim cuti sekolah ni, ramai teman-teman yang bercuti ke luar negara bawa keluarga... upload gambar-gambar yang cantik-cantik dan menarik, share di fb dan instragram...

Apa perasaan kita yang tak berpeluang... cemburu, sedih, dengki, meluat tengok?
Tak perlu mempunyai perasaan yang begitu, sepatutnya kita berterima kasih dapat bersama-sama melihat gambar tempat-tempat yang kita tak pernah pergi dan mana tahu dengan perkongsian tersebut dapat membakar semangat untuk berusaha lebih tekun dan mohon pada Allah supaya kita juga memperolehi rezeki untuk ke sana.
Sekarang masih belum ada rezeki, siapa tahu akan datang...doa pada Allah, itu yang terbaik..

'Ya Allah, Ya Razzak yang Maha Pemberi Rezeki, jika keinginanku ini untuk melancong dan melihat keindahan ciptaanMu adalah yang terbaik buatku, aturkanlah agar aku dan keluargaku dapat bercuti ke sana. Hanya Kaulah yang Maha mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan hanya Kaulah yang mengetahui apa yang terbaik untukku.'

Lega rasanya hati ini... tersenyum puas kerana kepada Allah sahaja tempat kita meminta.
Jangan fikir itu adalah mustahil bagi kita untuk bercuti ke luar negara kerana dengan kehendak dan izin dari Nya pasti kita akan sampai jua...

#yakinpadaketentuanNya
#tawakalpadaNya
#rajintekunberusaha
#koreakudatangjua

Wednesday, January 18, 2012

PBS Pentaksiran Berasaskan Sekolah

(gambar dipinjam)

Setelah sekian lama tidak menghadirkan diri di alam maya ini, saya terpanggil untuk mengupas tajuk Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang saya percaya ianya amat berguna untuk setiap guru.

PBS yang dilaksanakan adalah sesuatu yang patut dimurnikan oleh semua guru kerana ianya memberi penilaian lebih terhadap murid.  PBS dilihat sebagai satu usaha oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi penambahbaikan terhadap pencapaian murid di dalam peperiksaan utama, khususnya UPSR dan PMR.

PBS dilihat sebagai satu langkah penting bagi menentukan penguasaan murid secara lebih bersistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran.  PBS merujuk kepada pentaksiran yang bersifat holistik yang merangkumi nilai intelek, emosi dan rohani serta jasmani selaras dengan FPK dan KSSR.  Ini kerana PBS mencakupi dan mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Guru diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan ketika proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) yang berasaskan sekolah.  Pentaksiran Sekolah menjadi satu elemen utama dalam proses P&P kerana ia dilihat berfungsi mengukuhkan pembelajaran murid serta meningkatkan pengajaran guru serta berupaya memberi maklumat yang sah mengenai apa sahaja pencapaian dan pelaksanaan dalam setiap proses P&P.

PBS mengandungi empat komponen, dua komponen bersifat akademik iaitu Pentaksiran Sekolah dan Pentaksiran Pusat. Dua komponen bersifat bukan akademik iaitu Pentaksiran Psikometrik (sikap dan personaliti pelajar) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Semoga proses penambahbaikan oleh KPM ini dapat melahirkan insan yang lebih cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi merangkumi bukan akademik dan yang penting mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan mithali.

Wednesday, September 14, 2011

Jiwa Merdeka

Sempena bulan kemerdekaan sekolah telah mengadakan beberapa pertandingan.  Antaranya pertandingan kelas patriotik.  Maka berkobar-kobarlah anak-anak muridku dalam menghias kelas mereka.  Seronok rasa hati melihat semangat yang ditunjukkan.  Moga ianya bukan sekadar pada zahirnya sahaja tapi membawa pengertian yang lebih mendalam.



Saya dengan semangat yang berkobar-kobar telah menghasilkan sebuah sajak untuk diperdengarkan kepada seluruh warga sekolah pada perhimpunan pagi.

Aku Bangga Menjadi Anak Malaysia

Kini...
Tiada lagi tangisan insan terluka,
Batin sengsara berkorban jiwa...
pertahankan negara,
Daripada penjajah durjana.

54 tahun dahulu...
Stadium Merdeka menjadi saksi,
Negaraku merdeka,
Rakyatku tidak lagi tersiksa,
Menangis gembira menyulam cahaya.

Aku bangga menjadi anak Malaysia,
Negaraku cemerlang,
Rakyatku terbilang,
Serata dunia nama Malaysia gemilang.

Kini 54 tahun berlalu...
Tiada lagi penjajahan,
Tiada lagi penderitaan,
Burung berterbangan bebas berkicauan,
Menjadi tanda negaraku aman,
Menuju mercu kejayaan.

Aku bangga menjadi anak Malaysia,
Maju berteknologi,
Melangkah ke arah globalisasi,
Namamu Malaysia sentiasa dijulang tinggi,
Bangganya diriku di dalam hati.

Aku bangga menjadi anak Malaysia,
Ku genggam erat amanah pejuang negara,
Pertahankan kemerdekaan dari anasir durjana,
Meneruskan kemajuan disebalik manik kemerdekaan,
Sematkan semangat jiwa merdeka,
kerana yang pastinya,
Aku bangga menjadi anak Malaysia.


"Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada"

Sunday, May 29, 2011

Biarku Menjadi Lilin





Biarku Menjadi Lilin


Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Di saat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan


Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang di sini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh 
terluka dan tersungkur
Ku rawat biar sembuh


Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan


Keikhlasan dihati
Walaupun sering kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua


Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian 
Saat kau kegelapan
Ku rela menerangkan


Aku senang begini
Dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri




Khas buat semua anak didik cikgu tak kira walau di mana kalian berada.
Cikgu juga banyak belajar dari kalian erti sebuah kehidupan.







Sunday, May 1, 2011

Kaedah Pembelajaran Kendiri


Di sebalik bilik yang kecil tapi cukup selesa buat saya untuk memikirkan apakah cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid. Pada hujung bulan Februari, saya telah memulakan kaedah pembelajaran kendiri untuk murid-murid 6 UKM.  Alhamdulillah sambutan yang baik terutama dari murid-murid perempuan.  
Mereka akan membuat latihan dan menyemak sendiri.  Tempat disediakan di satu sudut khas di dalam makmal sains.  Masa rehat adalah masa kaedah pembelajaran kendiri dijalankan.

Semoga usaha anak-anak muridku dan usahaku mendapat keberkatan dariNya.  Insyaallah.





Saturday, February 5, 2011

Perkhemahan Kokurikulum Jati Diri

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya melapangkan diri untuk mencoretkan sesuatu di blog yang dah bersawang dan berhabuk ni.

Pada 28 - 29 Januari 2011 yang lepas, sekolah telah mengadakan perkhemahan.  Apalagi banyaklah kerja yang nak kena buat tapi semuanya berjalan lancar kerana mendapat kerjasama yang sangat baik dari semua guru yang terlibat.  Saya terlibat dengan Aktiviti Bantu Mula, maka saya pun dengan berbesar hati menunjukkan kemahiran yang ada (walaupun kemahiran tu sikit je).  Saya menjadi pembantu je pada Saudari Azidah (wakil BSMM Cabang Kulim) yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar pada peserta perkhemahan.


Gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang aktiviti dijalankan.








Saya ada rancangan tahunan BSMM bagi ahli kanak-kanak Link (MRC Link) yang ingin dikongsi bersama-sama dengan guru pemimpin BSMM.

Rancangan Tahunan BSMM Tahap 1 Tahun 4

Rancangan Tahunan BSMM Tahap 2 Tahun 5

Rancangan Tahunan BSMM Tahap 3 Tahun 6


Moga bertemu lagi pada coretan yang lain pula dan moga saya tidak mengambil masa yang teramat lama untuk itu.

Tuesday, October 12, 2010

Perasan dan Perasaan






Aku perasan yang aku alim
Perasaan aku berdetik....memang tak terbanding dengan yang lain 
Aku perasan yang aku bijak
Perasaan aku berkata....apa yang ku buat yang lain pasti tak dapat mengagak 
Aku perasan yang aku lawa
Perasaan aku berkira...orang lain pasti memandang dengan penuh kecewa
Aku perasan yang aku kaya
Perasaan aku berbunga....pasti yang melihat dengki tak terhingga

Perasan aku semakin menjadi-jadi
Perasaan orang lain apa aku peduli
Perasan aku menjadikan diriku megah
Perasaan orang lain meluat tengok dan menyampah
Perasan aku tak boleh nak dibendung lagi
Punyalah perasan sampai tak sedar diri
Perasaan yang lain bila tengok punyalah geli
Memikirkan bilalah nak bertaubat dan insaf diri

Dunia.....dunia.....penuh dengan perasan sehingga tak pedulikan perasaan
Ingat....ingat.....akhirat


"Kalau tak perasan langsung pun susah juga......kan, nanti dikatakan tiada perasaan"

Wednesday, October 6, 2010

Mutiara atau Debu



"Pilihan yang bijak pasti membuahkan hasil yang lumayan "

Friday, August 6, 2010

Soalan KPS untuk latihan

Di sini ada saya sediakan latihan berkaitan KPS berdasarkan maklumat.

Klik di sini.

Sains Sekolah Rendah

Saturday, July 24, 2010

Mengapa Cikgu Itu Boleh

Mendisiplinkan pelajar memang suatu tugas yang berat terutama apabila pelajar sudah berani mempersoalkan perbuatan cikgu.  Sekumpulan pelajar lelaki tingkatan empat dibawa ke bilik saya kerana kesalahan merokok.

Semasa perbicaraan, mereka mengaku bersalah tetapi salah seorang daripada mereka bertanya, "Mengapa cikgu itu boleh merokok?"

"Mereka sudah bekerja, sudah tidak menyusahkan ibu bapa."

"Saya pun kerja cikgu, menjadi penjual ikan di pekan sari.  Saya merokok dengan duit saya."

"Wah, mencabar nampak!.  Jadi kamu hendak sama dengan cikgulah?  Cikgu Abd. Jalil Yusof, tolong kumpulkan sepuluh orang guru kita yang free di bilik gerakan dan berikan buku persediaan mengajar cikgu kepada si Dol, ni."

"Maksud cikgu?" Dol kelihatan cemas.

"Yalah, kamu hendak sangat sama taraf dengan cikgu, kami beri kesempatan kamu mengajar, jadi cikgu."

"Tak bolehlah, cikgu!"

"Mengapa pula tidak boleh?  Saya sekadar memenuhi permintaan kamu."


petikan dari cerita-cerita motivasi untuk guru


"walaupun kita digelar guru yang garang tapi masih lagi menjadi pujaan dikalangan murid-murid.....kan seronok"

Saturday, April 10, 2010

Program Motivasi & Teknik Menjawab Soalan di Pendang Lake Resort

 
Pada 1 & 2 April 2010, sekolah telah menjalankan satu program untuk murid-murid tahun 6.  Oleh kerana murid yang terlibat adalah murid dari kelas yang saya mengajar, maka saya pun bermalamlah bersama murid-murid.



  
Kalau peringkat dalaman saya yang memberikan teknik-teknik menjawab soalan.  Peringkat luaran pula, ceramah disampaikan oleh JU Sains Negeri Kedah, Guru Sumber/Pakar Sains dan banyak lagi, pendek kata seorang guru yang berpengalaman, Encik Wan Mohd Saberi bin Wan Mahmud.  Terima kasih yang tak terhingga dari semua warga SKLJ kerana telah mendapat ilmu yang banyak, panduan dan tip-tip yang berguna.






 Pada 3 April 2010 pula sebagai jurulatih bola jaring SKLJ, sekolah terlibat dengan Kejohanan Bola Jaring Peringkat PKG Padang Serai.  Alhamdulillah dapat juga tempat ketiga. Minggu ke 13 persekolahan ni pula, saya guru bertugas mingguan. Letih, penat tapi demi tugas....Gambar Pasukan Bola Jaring SKLJ (Ihsan dari Tn Hj Termizi)







Hari ni, 10 April 2010 (Sabtu) saya terlibat dengan Mesyuarat Agung Kali ke 21 BSMM Cabang Kulim Bandar Baharu kerana telah terpilih menjadi salah seorang AJK Induk Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Kulim Bandar Baharu bagi sesi 2010/2011.



"Alhamdulillah, walaupun sibuk tapi aku masih sempat meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga tercinta"


Saturday, March 27, 2010

Kisah Seorang Pemuda & Pak Kiyai


Kisah ini telah saya baca dan ambil dari blog cempaka biru untuk dikongsi bersama.

Ada seorang pemuda yang lama belajar dan tinggal di luar negara. Satu ketika beliau kembali ke negaranya. Sekembalinya di rumah ia meminta orang tuanya untuk dicarikan seorang guru agama, kiyai atau sesiapa sahaja yang dapat menjawab tiga persoalan yang lama menghantui fikirannya. Akhirnya orang tuanya berjaya mendapatkan seorang kiyai yang sudah tua tetapi masih sihat dan sangat warak serta berilmu orangnya.
Pemuda: Assalamualaikum, ayahku telah mempertemukan dengan tuan untuk menyelesaikan masalahku. Izinkan saya bertanya, tuan ini siapa?. Apakah tuan mampu menjawab persoalan yang bakal aku kemukan nanti.
Pak Kiyai: Saya ini seorang hamba Allah. Insya Allah dengan izinNya saya akan cuba menjawab segala persoalan saudara.
Pemuda: Tuan yakin, sedangkan telah ramai profesor dan orang pintar di luar negara yang aku temui gagal menjawabnya.
Pak Kiyai: Insyaalah saya akan cuba setakat kemampuan saya.
Pemuda: Aku ada tiga persoalan untuk ditanya kepada tuan:
  1. Kalau memang Allah itu ada, tunjukkan wujud Allah itu kepadaku.
  2. Apakah yang dinamakan takdir
  3. Kalau syaitan diciptakan daripada api kenapakah ia dimasukkan ke dalam neraka yang juga diperbuat daripada api. Tentu tidak akan menyakitkan syaitan sebab mereka daripada unsur yang sama. Apakah Allah SWT pernah terfikir tentang perkara itu.
Selesai tiga persoalan itu ditanya, tiba-tiba sahaja Pak Kiyai menampar pipi pemuda tersebut dengan kuatnya.
Pemuda: (sambil menahan sakit) Kenapa tuan menampar aku.
Pak Kiyai: Tamparan ini adalah jawapan saya kepada persoalan yang saudara ajukan kepada saya.
Pemuda: Aku sungguh-sungguh tidak mengerti.
Pak Kiyai: Sebentar lagi Insya Allah, saudara akan mengerti.
Pak  Kiyai: Bagaimana rasanya tamparan saya.
Pemuda: Tentu saja aku merasa sakit.
Pak Kiyai: Jadi, saudara percaya sakit itu ada?
Pemuda: Ya, aku percaya.
Pak Kiyai: Tunjukkan kepada saya wujud sakit itu!
Pemuda: Terdiam sambil merenung wajah Pak Kiyai.
Pak Kiyai: Itulah jawapan kepada persoalan saudara yang pertama…kita semua merasakan kewujudan Allah SWT tanpa mampu melihatNya.
Pak Kiyai: Apakah malam tadi saudara bermimpi akan ditampar oleh saya?
Pemuda: Tidak.
Pak Kiyai: Apakah saudara pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan yang kuat daripada saya hari ini?
Pemuda: Tidak.
Pak Kiyai: Itulah yang dinamakan takdir.
Pak Kiyai: Terbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar saudara?
Pemuda: Kulit.
Pak Kiyai: Terbuat daripada apakah pipi saudara?
Pemuda: Kulit
Pak Kiyai: Maaf, bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda: Sangat sakit.
Pak Kiyai: Walaupun syaitan dibuat daripada api dan neraka juga daripada api, jika Allah SWT menghendakinya maka neraka akan menjadi tempat yang sangat menyakitkan bagi syaitan.


"Terasa betapa kerdilnya diri ini, tiada apa yang perlu dimegahkan kerana segala-galanya adalah pinjaman belaka....Allah Maha Mengetahui Segala-galanya"

 

Thursday, March 18, 2010

Anugerah

Miss World (gambar hiasan)


Cantik, lawa, menarik, ayu, manis adalah sesuatu yang subjektif.
Pada pandangan kita nampak cantik dan menarik tapi tidak bagi pandangan orang lain.
Kecantikkan yang hakiki adalah lahir dari hati yang suci di mana ianya dapat dizahirkan dengan seri wajah yang menarik.  Mungkin tidak cantik tapi menarik.
Apa yang penting biarlah wujudnya keseimbangan antara zahir dan batin, jasmani dan rohani.
Insan yang cantik adalah anugerah. Biarlah sedap mata memandang dan sedap hati untuk mengenalinya.


"Kalau jadi ketua jangan pandang pada yang cantik sahaja....bahaya dan yang cantik pula jangan nak mengada-ngada tetapi bersyukur dengan anugerahNya- sekadar ungkapan tiada kena mengena dengan sesiapa, jangan ada yang terasa" 

 
 

Tuesday, March 16, 2010

Award dari Adik Seri

Terima kasih tak terhingga buat adik Seri di atas pemberian award ni....terharu akak dibuatnya.
Dah lama... tak dapat award dari teman blogger.  Terima kasih sekali lagi, semoga persahabatan kita akan berkekalan hendaknya.

Semoga award dari adik Seri akan merapatkan lagi tali silaturrahim sesama insan tidak kira di mana jua kita berada.

 

Syarat Bagi Penerima Award Ini

01 - Terbuka kepada semua follower dan pengunjung blog Seri Bahasa.
02 - Award ini tidak boleh di berikan kembali sebagai award kepada blog lain.
03 - Harus membuat posting tentang award ini disertakan sekali link blog ini.
04 - Hanya mereka yang telah membuat posting akan di masukkan dalam senarai penerima disertakan dengan link blog mereka.


"Macam mana adik Seri, akak dah penuhi ke syarat-syarat penerima award?"

Thursday, March 4, 2010

Pencarian...

 

Orang yang berbicara....
berbeza dengan orang yang bekerja.
Orang yang bekerja...
berbeza dengan orang yang berjihad.
Orang yang berjihad sahaja...
berbeza dengan orang yang berjihad secara tekun dan tekal.
Itulah tingkah laku yang akan menghasilkan...
keuntungan besar dengan sedikit pengorbanan.


"Ku mencari sesuatu yang bererti.....ku mencari damai abadi....di sana ku temui cinta sejati"


Blog Widget by LinkWithin

E-kad & Award dari teman

Salam Ramadhan
AlongArman